Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno masih belum menerima borang permohonan daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang keluar daripada Umno Mei lepas, untuk menyertai semula parti berkenaan.

mahathir mohamad 06 Dr Mahathir, selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Umno termasuk Muhyiddin baru-baru ini, bersetuju pada dasarnya untuk kembali menyertai Umno.

Najib memberitahu demikian selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Guangdong-Malaysia di ibunegara hari ini, demikian menurut Bernama.

Sementara itu, ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh berkata cadangan supaya Dr Mahathir kembali dalam Umno timbul apabila beliau menyarankan agar orang Melayu bergabung tenaga untuk mempertahankan hak mereka menerusi Umno.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan sendiri oleh Dr Mahathir semasa beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Umno.

"Dalam pertemuan itu, kita menyatakan kebimbangan kedudukan orang Melayu seolah-olah sudah tidak terjamin, kedudukan kerajaan sudah terumbang-ambing dengan adanya suara-suara yang mengatakan parti-parti komponen nak meninggalkan BN.

"Jadi Dr Mahathir minta supaya diadakan perjumpaan bagaimana menggabungkan tenaga kita untuk mempertahankan kedudukan orang Melayu, kalau boleh menerusi

Umno," katanya

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 150 anak-anak yatim dari asrama Pertubuhan Anak-anak Yatim Islam Muar di Masjid Jamek bandar Maharani malam semalam.

Tengku Razaleigh berkata oleh kerana Dr Mahathir bukan anggota Umno, maka timbullah cadangan supaya beliau kembali ke pangkuan parti.

"Dia kata, dia bersedia kembali kepada Umno pada bila-bila masa, syaratnya sebagaimana yang dia kata dahululah (apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri)," kata Tengku Razaleigh.