BERITA

Guan Eng minta wartawan dan Teresa Kok dibebaskan

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Sep 2008, 5:54 petang

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta supaya kerajaan dan polis membebaskan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan Anggota Parlimen DAP, Teresa Kok yang ditahan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malam tadi.

lim guan eng vs koh tsu koon penang 080808 03 Beliau berkata, tindakan menahan mereka dilihat seolah-olah kerajaan dalam keadaan terdesak terutamanya menjelang tarikh 16 September ini, tarikh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengambil alih pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

"Sementara pemberita berkenaan hanya menjalankan tugasnya dan tidak sepatutnya beliau dipersalahkan," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, demikian menurut laporan Bernama.

Sehubungan itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, parti itu akan membincangkan mengenai perkara tersebut pada mesyuarat parti hari ini di Kuala Lumpur.

Kira-kira 100 pemimpin dan penyokong parti politik termasuk MCA, Gerakan dan DAP berkumpul di luar perkarangan IPK sambil menyalakan lilin sebagai tanda membantah penahanan wartawan itu.

Mereka berkumpul sejak jam 9.30 malam sebaik sahaja mengetahui mengenai penahanan Tan oleh polis Bukit Aman di rumahnya di Bukit Mertajam pada kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Beberapa pemimpin PAS juga dilihat berada di kawasan itu.

Keadaan di situ terkawal dan anggota polis Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat turut berada di bahagian dalam IPK untuk mengawal keadaan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.