Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shabery: Polis mesti perjelas penahanan wartawan
Diterbitkan:  Sep 14, 2008 3:46 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Polis harus memberi penjelasan mengenai rasional penahanan wartawan Sin Chew Daily , Tan Hoon Cheng, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, adalah lebih baik sekiranya polis dapat memberi penjelasan mengenai penahanan Tan itu, dan bukannya ahli politik yang memberikan pelbagai ulasan mengenainya.

"Adalah lebih baik dan sesuai sekiranya polis dapat memberi penjelasan (mengenai perkara itu)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Tanglung di ibunegara malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam bahawa penahanan Tan adalah sebahagian daripada langkah pantas polis bagi memastikan keselamatanya selepas wartawan itu menerima panggilan berbentuk ugutan.

Syed Hamid berkata risikan polis mendapati nyawa wartawan itu terancam selepas beliau membuat laporan mengenai kenyataan ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail - yang telah digantung dan dilucutkan jawatannya - yang dikatakan mengandungi kenyataan berbentuk perkauman.

Bagaimanapun Tan dibebaskan oleh Ibu pejabat Polis kontinjen Pulau Pinang pada kira-kira jam 2.30 petang ini.

Shabery yang menyuarakan rasa lega dengan pembebasan Tan berkata tindakan itu jelas menggambarkan bahawa penahanan di bawah ISA bukan berbentuk hukuman jangka panjang, dan menambah bahawa ia hanya bertujuan menghalang pihak tertentu daripada membuat kenyataan-kenyataan yang boleh mengancam keselamatan nasional.

ADS