Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mustafa, Nik Aziz bertemu selesaikan isu 16 Sept

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Pilihanraya Pusat parti itu, Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan 'empat mata' hari ini difahamkan bagi menyelesaikan 'pertelagahan' antara mereka berhubung isu peralihan kuasa yang diusahakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

nik aziz 01 Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan dilihat sentiasa memberi sokongan moral kepada Anwar untuk menjadikan peralihan kuasa itu satu realiti.

Manakala Mustafa yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu pula dilihat tidak yakin usaha Anwar itu akan menjadi kenyataan.

Dalam pertemuan tersebut, Malaysiakini difahamkan kedua-dua pemimpin tertinggi PAS telah memperjelaskan pendirian masing-masing dan 'hubungan mereka kini kembali seperti sediakala'

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mustafa mengesahkan mengadakan pertemuan tersebut di Kota Bharu pagi tadi atas permintaan Nik Aziz.

mustafa ali 01 Mustafa enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan yang bermula jam 10 pagi tadi, tetapi beliau kedengaran ceria ketika bercakap dengan Malaysiakini.

Menurutnya, pertelagahannya dengan Nik Aziz itu berpunca daripada "salah faham" semata-mata.

"(Perkara ini) macam ayah dengan anak," tambahnya.

Ahad lalu, dalam ceramahnya di Taman Melewar, Gombak, Nik Aziz secara terbuka mengkritik kenyataan Mustafa yang tidak yakin pertukaran kerajaan pada 16 September.

Merujuk kepada kenyataan Mustafa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia serta wawancaranya dengan Harakah mengenai isu tersebut, Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihanraya PAS itu "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul serupa dengan nada presiden Umno".

Malah, Nik Aziz turut menyifatkan PAS Terengganu "telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya".

Bagaimanapun, Mustafa sebelum ini, enggan mengulas kritikan menteri besar Kelantan itu.

"Dalam pertemuan pagi tadi, (kami) bincang perkara itu (perselisihan faham) sekejap saja. Yang lain kita sembang-sembanglah," kata Mustafa.

ADS