BERITA Malaysiakini

Perhimpunan Hindraf: 27 didenda RM1,000

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sejumlah 27 orang yang gagal bersurai selepas diarahkan berbuat demikian oleh polis sewaktu perhimpunan anjuran Hindraf pada 25 November, hari ini masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Jika gagal membayar denda tersebut, mereka terpaksa menjalani hukuman penjara selama tiga minggu.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar Tahir berkata beliau mengambilkira faktor rayuan seperti pengakuan bersalah mereka yang dapat menjimatkan kos dan masa mahkamah.

"Hakikat bahawa mereka mengaku besalah selepas 12 saksi dipanggil memberi keterangan, menunjukkan mereka menyesal dengan perbuatan mereka itu," katanya dalam laporan Star.

Katanya, beliau juga turut mengambil kira bahawa ini adalah kesalahan pertama mereka.

"Saya membuat kesimpulan bahawa jumlah hari mereka hadir di mahkamah sewaktu perbicaraan juga merupakan satu hukuman terhadap mereka," katanya.

Bagaimanapun, hakim itu mengingatkan bahawa perhimpunan haram, walaupun secara aman, adalah satu kesalahan yang serius kerana ia menganggu ketenteraman dan membahayakan hartabenda awam.

Oleh itu, katanya, mereka tidak perlu dijatuhkan hukuman penjara kerana hukuman denda sudah mencukupi sebagai pengajaran terhadap mereka.

Hukuman denda mencukupi

Katanya, hukuman denda RM1,000 adalah mencukupi kerana mereka menghadapi kesukaran kewangan.

Akhtar berkata, beliau mengambil kira pengakuan bersalah mereka terhadap tuduhan pertama menyertai perhimpunan haram ekoran representasi peguambela kepada Pejabat Peguam Negara sebelum ini.

Seramai 53 orang telah meminta dibicarakan terhadap tuduhan kedua kerana terus menyertai perhimpunan haram itu walaupun mereka diarahkan bersurai.

Hari ini, 45 orang dan seorang wanita yang berusia antara 21 hingga 62 tahun hadir menghadiri sambungan perbicaraan selama dua minggu itu.

Daripada jumlah itu, 27 orang mengaku bersalah. Lima orang tidak hadir kerana sakit manakala dua lagi telah dikeluarkan waran tangkap.

Ketika memohon hukuman ringan, N Sivananthan dari Majlis Peguam berkata, mereka telah menjimatkan kos dan masa mahkamah memandangkan 200 sapina telah dikeluarkan untuk kes tersebut.

Menurutnya, mereka tidak mempunyai sebarang motif untuk menimbulkan masalah atau memprotes tetapi hanyalah mahu menyerahkan petisyen kepada Ratu Elizabeth melalui Suruhanjaya Tinggi British untuk mendapatkan pampasan terhadap masyarakat India.

Perhimpunan Hindraf itu dihadiri kira-kira 30,000 kaum India, yang mendakwa mereka telah dipinggirkan.

Lima pemimpin utama Hindraf ditahan kemudiannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).