Johor: Ada bahagian mahu gandingan Najib-Muhyiddin

       

Sebahagian besar Umno bahagian di Johor menyerahkan kepada para perwakilan untuk memutuskan dalam mesyuarat perwakilan masing-masing bulan depan, calon presiden dan timbalan presiden Umno.

Tinjauan Malaysiakini di Johor mendapati ada bahagian yang akan mencalonkan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bahagian-bahagian berpendapat suara perwakilan perlu didengar, khususnya, dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti, kerana ia boleh menyelamatkan parti dan orang Melayu.

Ketua Pemuda Umno Sekijang, Ayub Rahmad berkata, parti perlu melihat keadaan persekitaran, iaitu apakah kehendak ahli teramai.

"Jika mereka mahukan perubahan kepimpinan utama, parti mesti melakukan perubahan tanpa terikat dengan tempoh tertentu.

"Walaupun kita menyokong pelan peralihan kuasa tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan hak ahli parti," katanya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian Tanjong Piai, Suhaimi Salleh pula berkata, bahagiannya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan calon presiden.

Peralihan kuasa

"Biar perwakilan bahagian menentukan sama ada hendak mematuhi peralihan kuasa yang telah ditetapkan pada 2010 atau membuat cadangan lain," katanya.

Beliau berkata, daripada maklumat yang diterima ramai ahli Umno di Tanjong Piai, mereka mahu Najib bertanding jawatan presiden manakala Muhyiddin bertanding timbalan presiden.

Manakala naib ketua bahagian Muar, Halim Hashim berkata, cara terbaik ialah menyerahkan kepada ahli jawatankuasa bahagian untuk menentukan siapakah calon presiden.

"Bahagian Muar sehingga ini belum berbuat demikian tetapi akan membincangkannya dalam mesyuarat bahagian nanti.

"Di bahagian ini ada yang mahukan Abdullah, Najib, Muhyiddin dan tokoh veteran, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi presiden parti," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, AJK bahagian Segamat, Mohd Azami Othman berkata, ahli bahagian ini berbelah bagi mengenai siapa yang perlu menjadi presiden parti.

Katanya, ramai pemimpin utama bahagian mahu Abdullah kekal sebagai presiden, manakala golongan berusia 50 tahun ke bawah mahukan perubahan dalam kepimpinan tinggi.

"Oleh kerana itu lebih baik ia diserahkan kepada suara majoriti (perwakilan) untuk menentukan siapa yang mereka mahu menjadi ketua parti mereka.

Rumusan mesyuarat cawangan

"Saya ingin menasihatkan Abdullah supaya tidak tertipu dengan maklumat terutama dari yang suka membodek," katanya .

Menurutnya, ramai ahli Umno Segamat berpendapat Muhyiddin seorang pemimpin yang ada pendirian.

Seorang AJK bahagian Johor Baru, Ahmad Kemim pula berkata, kebanyakan golongan akar umbi di bahagian itu mahukan gandingan Najib dan Muhyiddin menerajui parti itu.

Katanya, rumusan dari mesyuarat cawangan bahagian ini mendapati mereka mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan.

Oleh kerana itu, katanya, pemimpin parti termasuk Abdullah perlu menilai kehendak ahli sebelum membuat sebarang keputusan.

Manakala AJK bahagian Kota Tinggi, Basri Kutai @ Lamsah pula berkata, ramai ahli cawangan masih menyokong Abdullah sebagai presiden parti.

Bagaimanapun, katanya, ada juga yang mencadangkan supaya ia ditentukan dalam mesyuarat bahagian yang akan diadakan bulan depan.

"Oleh itu kita kena mengikut kehendak ramai kerana kekuatan parti terletak kepada ahli," katanya.

Beliau berkata, tiada faedahnya bergaduh untuk memilih pemimpin kerana ia akan menyebabkan parti menjadi semakin lemah.

Malaysiakini
terkini untuk anda