Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus akan mencabar penyandang jawatan ketua bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman dalam mesyuarat perwakilannya bulan depan.

Ketika dihubungi hari ini, Syukur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang mengesahkan perkara tersebut.

"Ramai perwakilan mahu bahagian Selayang diterajui oleh muka baru yang boleh bekerja lebih aktif dan agresif," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ramai ahli cawangan bercakap Ahmad Bhari sudah lama memegang jawatan ketua bahagian iaitu sejak 10 tahun lalu.

Syukur mendapat 66 pencalonan manakala Ahmad Bhari memperolehi 55 daripada 121 cawangan di Selayang.

Jawatan timbalan dan naib ketua juga akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Bagaimanapun, Umno bahagian tersebut belum menetapkan tarikh mesyuarat tetapi dijangka diadakan bulan November depan.

Peralihan kuasa

Penyandang jawatan timbalan ketua bahagian, Datuk Sohaimi Abdul Rahman akan ditentang oleh Adun Taman Templer, Datuk Subhan Kamal.

Manakala jawatan naib ketua akan menyaksikan pertembungan dua muka baru iaitu Datuk Nazir Ibrahim dan Abdul Rashid Mohd Noor.

Syukur juga mengulas mengenai pendirian bahagian Selayang mengenai pelan peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 2010.

Beliau berkata, bahagian Selayang akan membincangkannya di kalangan ahli jawatankuasa bahagian untuk menyokong pelan tersebut.

"Jika AJK bahagian sekata mengenai perkara tersebut, ahli di peringkat cawangan tidak mempunyai masalah menerima pelan peralihan kuasa tersebut.

"Saya tidak nampak kepimpinan tinggi sekata pendapat mengenai peralihan kuasa, malah sebahagian ahli Majlis Tertinggi juga mempertikaikannya," katanya.