Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau tidak pasti sama ada perhimpunan agung parti itu yang dijadualkan Disember ini akan ditunda ke tahun depan.

"Saya tidak begitu tahu tentang cadangan (tunda) itu, tetapi yang jelasnya, ini satu perkara penting. Jadi saya tak dapat nak komen pada masa ini," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

muhyiddin yasin muhyiddin yassin Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus pucuk pimpinan Umno bercadang menunda perhimpunan agung itu ke Jun tahun depan.

Perhimpunan agung kali ini melibatkan pemilihan jawatan pucuk pimpinan tertinggi parti, demikian menurut Bernama.

Muhyiddin menafikan bahawa terdapat perebutan kuasa dalam Umno sehingga melemahkan parti itu.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk menentukan tarikh peralihan kuasa itu.

Mengenai pertandingan yang dijangka berlaku bagi merebut jawatan tertinggi Umno, Muhyiddin berkata sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi, semua jawatan dalam parti boleh ditandingi.

Ketika ditanya sama beliau sedia bertanding jawatan presiden atau timbalan presiden jika dicalonkan, beliau berkata: "Bila sampai masanya saya akan umumkan. Adalah terlalu awal untuk menyebut saya akan bertanding untuk jawatan apa."

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan naib presiden.