Polis hari ini menghalang usaha sekumpulan aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk mengedar risalah menggesa supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini.

Mereka cuba berkumpul dekat Masjid Jamek berhampiran Dataran Merdeka untuk mengedar risalah tersebut tengahari tadi.

gmi masjid jamek 260908 crowd Bagaimanapun, belum sempat mereka berkumpul, sepasukan polis yang diketuai oleh ASP Sydney Clyde Jeremiah memberi amaran kepada penyelaras GMI, E Nalini supaya jangan menggunakan pembesar suara dan membawa sepanduk.

Mereka bagaimanapun cuba memasang kain rentang dan sepanduk di kawasan berdepan dengan masjid, tetapi anggota polis bertindak membuangnya.

"Kita tidak mencapai matlamat kita untuk mengedarkan risalah kerana anggota polis berada di mana-mana dan mereka mungkin akan turut merampas bahan-bahan tersebut," kata Nalini kepada Malaysiakini.

Selepas kain rentang dan sepanduk tersebut dirampas, Presiden GMI Syed Ibrahim Syed Noh membaca kenyataan yang mengecam tindakan kerajaan menggunakan ISA untuk menahan individu-individu tanpa bicara.

Beliau berkata, tuntutan hari raya GMI adalah pembebasan semua tahanan ISA, memandangkan ramai daripada mereka yang tidak dapat merayakan Aidilfitri dengan orang tersayang.

"(Anggota keluarga mereka) mengharungi Ramadhan dan Hari Raya untuk enam atau tujuh tahun tanpa kehadiran suami, bapa atau anak," kata Syed Ibrahim.

Katanya, ramai anggota keluarga tahanan ISA telah kehilangan sumber pendapatan keluarga dan kini menghadapi kesulitan ekoran kenaikan kos sara hidup.

Mereka juga, katanya, dibebankan dengan kos pengangkutan yang tinggi ketika melawat tahanan di Kamunting, Perak.

"Bagi GMI, adalah amat malang sekali kerajaan dan pihak polis terus menggunakan kuasa secara membuta-tuli dengan bertopengkan ISA walaupun dalam bulan Ramadhan yang mubarak ini," katanya.

Syed Ibrahim meneruskan ucapannya selama kira-kira lima minit dan berakhir sejurus selepas polis mengeluarkan amaran terakhir.

Bagaimanapun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

gmi masjid jamek 260908 syed ibrahim Kehadiran mereka telah menarik perhatian orang ramai di situ dan umat Islam yang akan mengerjakan solat Jumaat di masjid tersebut.

Sesetengah daripada mereka turut membawa lencana.

Dua sahabat yang berhenti makan di situ untuk menyokong usaha GMI itu - Andrian Ng dan Ruben Emba - memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tergerak untuk menyokong pemansuhan ISA ekoran penahanan pemblog Raja Petra Kamaruddin baru-baru ini.

"Saya rasa penahanan Raja Petra tidak berasas... Itulah sebabnya saya berada di sini," kata Emba, 30, seorang perunding.

"Beliau mewakili kebebasan bersuara. Jika mereka boleh tahan seorang penulis blog tanpa bicara, ia bermakna ia juga boleh dikenakan terhadap sesiapa sahaja," kata Ng, 29, juga seorang jururunding.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS