Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: penangguhan boleh rumitkan keadaan
Diterbitkan:  Sep 26, 2008 10:29 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno hari ini menunda tarikh perhimpunan agung ke Mac tahun depan boleh `merumitkan kempen' calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti nanti.

khairy jamaluddin Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno berkata, tempoh kempen yang sebelum ini hanya dua bulan akan menjadi lebih panjang iaitu selama enam bulan dan akan menyukarkan calon yang bertanding bagi jawatan tertinggi seperti dirinya.

"Kita tahu ini mungkin akan menjadi satu keputusan yang muktamad, ...bagi mereka yang akan bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian tak mengapa, tetapi untuk saya yang bertanding jawatan ketua Pemuda, ia akan menjadi satu keputusan yang merumitkan kempen.

"Tempoh kempen akan menjadi lebih panjang dan ia bukan senang. Bayangkan kempen pilihanraya dua minggu pun tidak mudah, inikan pula enam bulan.

"(Maknanya) dalam tempoh enam bulan itulah kita kena berkempen," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Menteri Besar Teregganu Datuk Ahmad Said di Kemaman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno hari ini menunda tarikh perhimpunan agung parti itu yang sepatutnya Disember depan, ke Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Bagaimanapun, ahli parlimen Rembau itu berkata sebagai sayap parti, Pemuda Umno tetap menghormati dan menerima keputusan yang telah diambil itu.

Sementara itu, Ahmad yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu berkata, keputusan yang diambil oleh Majlis Tertinggi itu perlu dihormati kerana ia adalah antara langkah untuk melicinkan proses peralihan kuasa.

"Ini membuktikan proses peralihan kuasa Umno sebagai sebuah parti utama kaum Melayu berjalan dalam keadaan sempurna dan tertib," katanya.

Sekat jumpa ahli

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan pihak yang bertanggungjawab menyekatnya daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan Pemuda jika keadaan itu berterusan berlaku.

"Setakat ini tidak terlalu serius, tetapi sedikit sebanyak turut menjejaskan (kempen). Kalau terus sekat, mungkin saya akan bawa ke Majlis Tertinggi," katanya.

Semalam dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan, Khairy mendedahkan terdapat pihak yang menyekat beliau daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan pemuda Umno melibatkan beberapa kawasan yang dihadirinya dan beliau turut mendakwa mempunyai bukti berhubung perkara tersebut.

Selain Khairy, turut menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda Umno adalah ahli parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin dan ahli Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sebelum ini Mukhriz juga pernah membangkitkan isu berkenaan sekatan yang dilakukan oleh sesetengah pihak terhadap anggota parti untuk bertemu calon yang bertanding.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Khairy berkata antara bentuk sekatan yang berlaku termasuklah melalui kiriman khidmat pesanan ringkas yang menghalang ahli-ahli pemuda untuk bertemu dengan beliau.

ADS