Penangguhan mesyuarat dan perhimpunan agung Umno ke Mac tahun depan tidak melanggar mana-mana peraturan perlembagaan parti, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa perlembagaan Umno berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno berhak menetapkan tarikh perhimpunan agung.

"Kalau ikut perlembagaan Umno, kuasa tertinggi adalah Majlis Tertinggi selain perhimpunan agung dan MT berhak untuk menetapkan tarikh mesyuarat-mesyuarat termasuk perhimpunan agung.

muhyiddin yassin and umno "Dan yang terkini, MT telah membuat keputusan menangguhkannya maka saya tidak nampak bagaimana ia melanggar perlembagaan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata semua pihak perlu melihat penangguhan berkenaan dalam konteks yang lebih besar iaitu untuk menyelesaikan masalah peralihan kepimpinan dan atas dasar persefahaman kepimpinan, MT memutuskan tarikh berkenaan dan dianggap sesuai dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Diminta mengulas mengenai hasrat bekas Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan presiden, Bernama memetik beliau sebagai berkata, hasrat Tengku Razaleigh sudah lama disuarakan dan bukan sesuatu yang baru.

"Itu hak dia, kita menghormati hasrat dia hendak bertanding bagi jawatan presiden, terserah kepada ahli-ahli perwakilan di bahagian sama ada untuk mencalonkan beliau atau tidak," kata Muhyiddin.

Kelmarin, mesyuarat khas MT menangguhkan pemilihan dan perhimpunan agung Umno ke Mac tahun depan untuk membolehkan peralihan kuasa dipercepatkan daripada yang dijadualkan pada 2010.

'Ruang peralihan kuasa'

Sementara itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata penangguhan perhimpunan agung Umno ke Mac tahun depan perlu bagi ruang mencukupi kepada proses peralihan kuasa pucuk pimpinan parti tersebut agar berjalan dengan lancar.

Katanya, keadaan politik dalam Umno kini menjadi semakin hangat berikutan ahli-ahlinya yang menawarkan diri untuk jawatan dalam parti berikutan peralihan kuasa itu.

umno supreme council special meeting 260809 syed hamid "Kita tengok lebih hebat seolah-olah kadangkala ada adu domba," katanya yang menambah keadaan hangat itu menyebabkan berlakunya perpecahan sehingga menyebabkan ahli Umno tidak dapat menumpukan perhatian terhadap urusan pemerintahan negara.

Bercakap kepada pemberita di Kota Tinggi, semalam, Syed Hamid yang juga menteri dalam negeri berkata, perpecahan di kalangan ahli Umno menyebabkan banyak perkara terjadi termasuk yang boleh menodai kebebasan dan kedaulatan negara.

Apabila selesainya proses peralihan kuasa nanti, katanya, ahli-ahli Umno harus memantapkan kembali parti dan meningkatkan persepakatan agar parti dapat terus menerajui pemerintahan negara selepas pilihanraya yang akan datang.

"Bukan hanya kita sahaja yang boleh memerintah. Orang akan memerhati dan membuat penilaian terhadap kita," katanya.