Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan polis nafi disogok ketua Umno
Diterbitkan:  Oct 14, 2008 1:57 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Calon bebas di Rantau Panjang dalam pilihanraya umum lalu membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan ditaja oleh beberapa individu dalam Umno untuk bertanding kerusi parlimen tersebut.

Isma Airfath Hasanuddin, yang menggunakan logo 'kepala harimau' semasa pilihanraya 8 Mac lepas, membuat laporan di ibu pejabat polis Pasir Mas petang semalam.

Beliau mendakwa tandatangannya telah dipalsukan dalam sepucuk surat pengakuan yang dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Umno, lapor Bernama hari ini.

Rantau Panjang dimenangi calon PAS Siti Zailah Mohd Yusof selepas menewaskan calon BN Mohd Afandi Yusof dan beliau sendiri.

"Saya tidak pernah menulis surat pengakuan sebagaimana yang dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Umno mengatakan saya ditaja untuk bertanding dengan bayaran tertentu.

"Saya menafikan apa yang terkandung dalam surat pengakuan itu malahan tanda tangan saya juga dipalsukan," kata Isma Airfath kepada agensi berita itu.

Beliau juga mendakwa tidak pernah berjumpa dengan empat anggota Umno Rantau Panjang yang digantung satu penggal pemilihan oleh lembaga disiplin parti itu baru-baru ini.

"Untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu saya mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan tiada kena-mengena dengan mereka yang berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau mendakwa, surat pengakuan yang menggunakan namanya itu didalangi pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruahnya dan ekoran surat pengakuan itu juga, empat anggota Umno berkenaan digantung keanggotaan mereka.

Lembaga itu memutuskan ketua bahagian berkenaan Datuk Mohd Zain Ismail, bendaharinya Ghazali Ismail, ketua Wanita bahagian Pauziah Che Wook dan seorang ahli jawatankuasa Fauzi Omar digantung keahlian selama tiga tahun dari 22 September lalu atau satu penggal pemilihan.

Hukuman berkenaan berdasarkan Tataetika Ahli dalam perlembagaan Umno kerana didapati melakukan kesalahan rasuah politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS