Shahrizat terus dicalon tanding ketua Wanita
Walaupun Tan Sri Rafidah Aziz telah menyediakan pelan peralihan kuasa kepada naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi mengelakkan pertandingan jawatan ketua pergerakan itu, namun naib ketua Wanita itu terus menerima pencalonan bagi jawatan ketua Wanita Umno.
Lapan bahagian Wanita Umno yang mencalonkan beliau untuk jawatan nombor satu itu hari ini ialah Putatan, Kulai, Sungai Siput, Setiu, Batu Gajah, Marang, Alor Gajah dan Masjid Tanah.
Dengan itu, jumlah keseluruhan pencalonan yang diterima Shahrizat untuk jawatan ketua Wanita meningkat kepada 23.
Sementara itu, Bernama melaporakan Rafidan dan Shahrizat menerima sembilan lagi pencalonan sehingga jam 7 malam tadi untuk mempertahankan jawatan masing-masing.
Mereka menerima pencalonan daripada Wanita Umno Bahagian Jasin, Ledang, Bakri, Arau, Bera, Labis, Sekijang, Tapah dan Lenggong menjadikannya jumlah keseluruhan masing-masing kepada 67 pencalonan.
Sementara itu, dalam persaingan bagi jawatan naib ketua Wanita Umno, ketua Wanita bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim menambah tujuh lagi pencalonan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pencalonannya meningkat kepada 16.
Turut dicalonkan untuk jawatan naib ketua Wanita umno ialah Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said yang kekal dengan empat pencalonan, dan ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Mohamed Sadique yang kekal dengan dua pencalonan.
Seorang lagi calon baru turut dinamakan hari ini bagi merebut jawatan naib ketua Wanita Umno iaitu anggota Exco pergerakan itu Dr Norraesah Mohamad, yang dicalonkan oleh bahagian Marang.

