Ketua penerangan pergerakan Puteri Umno, Datuk Shahaniza Shamsuddin terus mendahului calon untuk jawatan ketua Puteri Umno.

Hari ini, beliau menerima lima lagi pencalonan hari ini, menjadikan jumlah pencalonannya bertambah kepada 41 berbanding 36 sebelum ini.

Shahaniza mendapat pencalonan daripada Puteri Umno bahagian Kuala Krau, Alor Gajah, Paya Besar, Indera Mahkota dan Jerai.

Pencabar sengit Shahaniza iaitu naib ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula menerima enam lagi pencalonan hari ini.

Dengan itu, menurut laporan Bernama, jumlah pencalonan yang diterimanya kini meningkat kepada 36 berbanding 30 semalam.

Rosnah mendapat pencalonan dari bahagian Beluran, Grik, Lenggong, Bukit Gantang, Batu Gajah dan Dungun.

Selain itu setiausaha pergerakan itu Bibi Sharliza Mohd Khalid turut menerima tiga pencalonan hari ini dari Puteri Umno Bahagian Jasin, Setiu dan Pendang.

Dengan pencalonan terbaru itu, Bibi Sharliza kini mendapat 16 pencalonan.

Bagaimanapun Exco Puteri Datin Ismalina Ismail dan Ketua Puteri Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq belum mendapat apa-apa pencalonan hari ini.

Ismalina kini mendapat 18 pencalonan manakala Azlina lima.