Kabinet bersetuju supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan helikopter Nuri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, sekalipun Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Abu Bakar Abdullah telah membuat kenyataan sebelum ini bahawa proses perolehan helikopter itu dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak, namun perkara itu tetap wajar dikaji secara mendalam oleh PAC.
"Dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lepas, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter ini dikemukakan untuk dihalusi oleh PAC dan dikaji dengan mendalam oleh PAC dan PAC boleh membuat kesimpulan," katanya kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau hari ini, demikian menurut laporan Bernama.
Najib yang juga menteri kewangan berkata PAC akan memperhalusi segala proses pembelian berhubung tender bagi pemerolehan helikopter Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri itu.
Sebelum ini, dalam suratnya kepada Najib, syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."
Pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim berkata pihaknya difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter.
Isu berhubung penggantian helikopter Nuri itu bermula selepas mesyuarat Kabinet pada 18 Julai 2007 bersetuju agar Nuri ditukar berikutan rungutan beberapa ahli Parlimen dan masyarakat umum berhubung helikopter jenis itu sering terlibat dalam nahas udara yang mengorbankan anggota tentera.
Sejak digunakan 39 tahun lalu, sebanyak 14 buah helikopter Nuri dilaporkan terhempas dan mengorbankan 107 nyawa anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Ekoran rungutan itu, Tentera Udara Diraja Malaysia telah menyediakan dokumen spesifikasi helikopter utiliti berkeupayaan mencari dan menyelamat (SAR) dan boleh dipertingkatkan keupayaan kepada SAR pertempuran.
Pada 10 Oktober 2007, Unit Perancang Ekonomi memberikan kelulusan untuk membeli pesawat baru menggantikan Nuri.
Satu tender terbuka antarabangsa telah diumumkan pada 7 November 2007 bagi membolehkan pembuat, pembekal dan ejen mengambil bahagian dalam tender tersebut.
Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan telah menerima keputusan dan persetujuan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan kementerian itu mengeluarkan Surat Niat kepada Eurocopter pada 15 September 2008.