Tolak usul isu ketua hakim negara
Dewan Rakyat menolak usul tergempar untuk membincangkan cadangan melantik presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua hakim negara yang baru.
Usul yang dibawa wakil Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, juga ketua Pemuda PAS, ditolak oleh timbalan yang dipertua dewan dengan alasan isu-isu berhubung badan kehakiman tidak boleh dibahaskan.
Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata usul itu menyalahi Peraturan 36(8), yang tidak membenarkan kelakuan atau sifat seseorang hakim dibincangkan di dalam dewan.
Minggu lepas, Majlis Raja-Raja Melayu mencalonkan Zaki bagi menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersara wajib Jumaat lepas.
Pelantikan yang belum rasmi diumumkan mencetuskan kontroversi pertikaian beberapa pihak termasuk wakil-wakil pembangkang dengan mendakwa Zaki pernah berkhidmat sebagai peguam Umno.
Pada November tahun lalu, pelantikan Zaki sebagai presiden mahkamah itu turut menimbulkan kontroversi.

