Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad menawarkan diri bertanding jawatan ahli majlis tertinggi (MT) Umno dalam perhimpunan agung parti itu Mac tahun depan.

noraini ahmad 02 Beliau berkata, keputusan itu untuk membolehkan beliau terus memberi sumbangan kepada parti setelah tidak lagi memimpin pergerakan Puteri Umno.

"Oleh kerana saya mahu terus memberi sumbangan kepada Umno, saya menawarkan diri bertanding jawatan MT.

"Saya menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat pemilihan terhadap ahli-ahli yang menawarkan diri jawatan ini (MT)," katanya ketika ditemui wartawan di majlis sambutan hari raya anjuran Puteri Umno di ibu negara baru-baru ini.

Noraini yang juga ahli Parlimen Parit Sulong menjadi ketua Puteri Umno dalam pemilihan parti pada 2004 mengambihalih dari Datuk Azalina Othman Said.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mempertahankan jawatan ketua Puteri Umno kali ini kerana sudah melebih had umur iaitu 40 tahun.

Berikutan itu, empat pemimpin pergerakan tersebut menawarkan diri bertanding untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Mereka ialah naib ketua sekarang, Rosnah Rashid Shirlin, ketua penerangan Puteri Umno, Datuk Sharniza Shamsuddin, ketua Puteri Wilayah Persekutuan Datin Ismalina Ismail dan ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Beliau juga ditanya mengenai begitu ramai para pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Noraini berkata, biarlah perwakilan memilih pemimpin yang boleh berkhidmat kepada parti.

"Sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi ia baik kerana semua orang boleh tertanding sebarang jawatan dalam parti," katanya.