Khairy jawab gesaan ditahan ISA
dikemaskini Desakan agar naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) gara-gara mengulas kuota Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunjukkan "besarnya cabaran yang perlu dihadapi oleh BN".
Walaupun berucap di perhimpunan penting, kata ahli parlimen Rembau, sewaktu MCA sedang berada di persimpangan selepas ketewasan teruk dalam pilihanraya umum lepas, perwakilan dari Perak, Ting Tai Fong masih menggunakan taktik lama dengan menyerangnya.
Khairy menambah, tidak wajar seorang perwakilan di mesyuarat agung Pemuda MCA membuat gesaan itu minggu lepas semata-mata kerana kenyataannya berhubung isu berkenaan di Dewan Rakyat.
"Saya tidak berhasrat melayan kritikannya dengan memberikan satu ulasan," katanya di laman web peribadinya, semalam.
"Tiada untungnya anggota BN bertikam lidah secara terbuka."
Ting membuat gesaan demikian sewaktu perbahasan di perhimpunan Pemuda MCA yang diadakan di ibu pejabat parti, Jumaat lepas.
Khairy hadir sebagai tetamu di majlis perasmian persidangan tahunan itu.
Beliau menambah, Ting jelas sekali tidak membuat persiapan apabila menuduh kenyataan tentang isu kuota biasiswa itu sebagai "tidak boleh difahami" kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan peruntukan khas untuk bumiputera.
"Saya berharaplah Ting memahami kepentingan saya menyeru kuota 67:33 (antara pelajar bumiputera dengan bukan bumiputera), mencerminkan lebih kurang komposisi penduduk dan bukan menegaskan kembali nisbah (selama ini) 90:10," kata menantu perdana menteri itu.
Tambahnya, beliau kecewa apabila perbahasan yang dibawa oleh seseorang individu dikenali ramai tidak mendapat sokongan, sebaliknya diperlekehkan oleh pihak lain, selalunya demi kepentingan sendiri.
"Jika kita tidak boleh membincangkan sesuatu isu sepenting biasiswa kerajaan dengan cara yang wajar dan sedar - seperti yang saya lakukan - tanpa dicop sebagai rasis, jadi impian untuk membentuk sebuah BN yang terbuka dan merangkumi semua hanya tinggal impian," katanya lagi.
Gesaan itu, tambahnya, menunjukkan perlunya anggota-anggota parti komponen BN menghargai semangat sebenar yang melatari ulasan-ulasan yang dibuat oleh anggota gabungan itu.
"Saya hanya boleh berharap penjelasan saya ini tidak akan mempolitikkan lagi isu ini - walaupun dengan berbuat demikian akan mencerahkan peluang saya dalam pemilihan parti (Umno) - akan dilihat sebagai contoh satu tindakan yang tekal dengan pendekatan (yang saya sarankan) itu," katanya di hujung coretan blog tersebut.

