Azizi ketua baru Pemuda Gua Musang
Pegawai Bank Mohd Azizi Abu Naim dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang selepas pergerakan itu bermesyuarat semula hari ini.
Beliau menggantikan penyandang jawatan itu, Bazlan Baharuddin, yang dipilih dalam mesyuarat perwakilan pertama pergerakan itu Khamis lalu.
Bagaimanapun, menurut ketua bahagian tersebut, Tengku Razaleigh Hamzah mesyuarat dua hari lalu dibatalkan.
Dalam mesyuarat hari ini, Mohd Azizi mendapat 70 undi manakala Bazlan hanya mendapat satu undi, demikian menurut Bernama.
Jawatan naib ketua pemuda bahagian dimenangi oleh Mohd Noor Fazli Harun dengan memperoleh 63 undi manakala lawannya Zamzari Harun hanya mendapat dua undi.
Persidangan perwakilan Pemuda Umno bahagian Gua Musang yang diadakan Khamis lalu dibatalkan kerana tidak mematuhi arahan yang diputuskan di peringkat bahagian.

