Pekan tidak buat pencalonan, kecuali Najib
Kecuali calon presiden, mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pekan hari ini tidak membuat sebarang pencalonan untuk jawatan timbalan dan naib presiden serta kerusi Majlis Tertinggi (MT).
Mesyuarat itu yang dihadiri seramai 604 perwakilan itu sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sebelum ini telah pun menang tanpa bertanding, bagi calon presiden parti itu.
Sebelum itu, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat bahagian itu, Bernama memetik Najib sebagai berkata keputusan sedemikian dibuat agar ia tidak mempengaruhi sikap perwakilan dalam pemilihan parti itu nanti.
"Itu merupakan keputusan Majlis Tertinggi supaya bahagian Kepala Batas (bahagian Umno yang diketuai Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Pekan ini tidak mempengaruhi sikap perwakilan nanti berdasarkan pencalonan yang dibuat kedua-dua bahagian.
"Perkara yang sama dilakukan pada pemilihan dulu, empat tahun dulu, di mana bahagian Kepala Batas dan Pekan juga dikecualikan, ini supaya tidak menimbulkan apa-apa tafsiran dan tanggapan di kalangan perwakilan nanti," katanya di sini.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Umno Bahagian Bera yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mewakili Badan Perhubungan Umno Pahang pada mesyuarat bahagian itu.
Ditanya terdapat desakan daripada beberapa bahagian lain yang tetap mahukan bahagian Pekan membuat pencalonan MT, Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata;
"Tak apalah, itu pandangan bahagian lain, tapi itu merupakan keputusan Majlis Tertinggi," katanya.
Ditanya calon pilihannya untuk jawatan Timbalan Presiden Umno, Najib hanya tersenyum berkata; "Usahlah tanya saya setakat ini (ketika ini)," katanya.

