Naib: JJ perlu satu lagi pencalonan
4.15 pm Bekas menteri sains, teknologi dan inovasi, Datuk Jamaluddin Jarlis kini memerlukan satu lagi pencalonan untuk layak bertanding jawatan naib presiden.
Terbaru beliau mendapat pencalonan dari bahagian Pensiangan, Sabah. Bahagian itu turut mencalonkan Datuk Syed Hamid Albar dan Datuk Khaled Nordin.
Jamaluddin kini mendapat 19 pencalonan. Kelayakan minima bagi jawatan naib presiden ialah 20 pencalonan.
3.00 pm Bekas menteri sains, teknologi dan inovasi, Datuk Jamaluddin Jarlis kini memerlukan dua lagi pencalonan untuk layak bertanding jawatan naib presiden.
Manakala Menteri Luar, Datuk Rais Yatim memerlukan tiga lagi pencalonan untuk layak.
Calon jawatan naib presiden memerlukan kelayakan minima 20 pencalonan.
Jamaluddin yang juga ketua bahagian Rompin setakat ini mendapat 18 pencalonan manakala Rais pula mendapat 17 pencalonan, termasuk dua pencalonan yang diterimanya setakat ini hari ini.
Setakat ini, enam calon sudah layak bertanding jawatan tersebut, iaitu Datuk Hishammuddin Hussein yang sehingga ini mendapat 122 pencalonan, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi (88), Datuk Shafie Apdal (65), Datuk Khaled Nordin (64), Datuk Syed Hamid Albar (26) dan Tan Sri Isa Samad (23).
Calon lain ialah Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (11), Datuk Shahidan Kassim (6), Datuk Mohamad Hassan (3), Datuk Musa Aman (2), Tan Sri Annuar Musa (1), Datuk Affifudin Omar (1), Datuk Halimah Sadique (1) dan Datuk Mohd Ali Rustam (1).

