Timbalan presiden: Pertembungan 2M
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berdepan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam untuk merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan Umno Mac depan.
Mohd Ali mendapat pencalonan ke-39 - kelayakan minima untuk bertanding timbalan presiden - dari Umno bahagian Pasir Putih pada kira-kira jam 5.10 petang tadi.
Muhyiddin sudahpun layak bertanding jawatan tersebut dan kini mendahului dengan memperolehi 83 pencalonan sehingga ini.
Pertembungan bagi jawatan timbalan presiden menjadi tumpuan kerana pemenangnya bakal dilantik menjadi timbalan perdana menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden dengan memperolehi 151 pencalonan sehingga jam 5 petang tadi.
Manakala seorang lagi calon timbalan presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib kini mendapat 33 pencalonan dan memerlukan enam lagi pencalonan untuk layak bertanding.
Sehingga jam 5.20 petang ini, sebanyak 151 bahagian telah selesai bermesyuarat dan tinggal kira-kira 40 bahagian lagi yang belum selesai bermesyuarat.
Manakala empat lagibahagian - Larut, Kota Merudu, Pengkalan Chepa dan Tanah Merah - tidak dapat mengadakan mesyuarat dalam tempoh sebulan yang telah ditetapkan.
Ibupejabat Umno menetapkan semua 191 bahagian Umno mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing dari 9 Oktober hingga esok (November).

