Terima kasih, kata Mohd Ali
Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua bahagian yang telah mencalonkan beliau bertanding jawatan timbalan presiden Mac depan.
Beliau menjadi calon kedua, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang layak bertanding jawatan tersebut.
Muhyiddin telah mendapat 84 pencalonan sehingga ini, menakala Mohd Ali melepasi kelayakan minima 39 pencalonan petang tadi.
Manakala seorang lagi calon, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapatkan 34 pencalonan dan memerlukan lima lagi untuk turut layak bertanding.
Perebutan jawatan timbalan presiden menjadi tumpuan kerana pemenangnya akan menjadi timbalan perdana menteri.
Datuk Seri Najib telah menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden dan akan mengambil alih kuasa dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Mac depan.
'Ahli boleh buat pilihan'
"Saya rasa terharu dan ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli umno, terutama bahagian-bahagian yang telah mencalonkan saya untuk melepasi kuota kelayakan bagi jawatan timbalan presiden umno, pada hari ini," kata Mohd Ali dalam satu kenyataan petang ini.
"Saya berharap bahagian-bahagian yang bermesyuarat esok akan terus mencalonkan saya untuk bertanding mengisi kekosongan jawatan ini.
"Sesungguhnya, sokongan tuan-tuan dan puan-puan amat-amat dihargai dan hanya Allah swt sahaja yang dapat membalasnya.
"Kelayakan ini memberi peluang kepada ahli-ahli untuk membuat pilihan di kalangan pemimpin yang menawarkan diri agar dapat memilih pemimpin yang terbaik," tambahnya.
Mohd Ali percaya sokongan dan dokongan yang diberikan itu adalah amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul bersama-sama presiden parti demi memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Umno, Barisan Nasional dan kerajaan.
"Insya-Allah saya berjanji untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini sebaik-baiknya demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran kita bersama sebagai rakyat Malaysia," katanya.

