Mohd Ali yakin pertandingan tidak wujudkan kem
Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam yakin pertandingan jawatan timbalan presiden Umno akan berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan tidak akan mewujudkan kem-kem tertentu.
"Ini kerana keutamaan ahli adalah kepada parti dan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti adalah proses demokrasi dalam mana-mana parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Ali yang juga naib presiden Umno adalah antara tiga calon yang akan bertanding merebut jawatan tersebut dalam pemilihan Umno Mac depan.
Dua calon lagi ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Mohd Ali mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa pertandingan dalam parti itu telah mewujudkan tiga kumpulan penyokong dan ia boleh menyebabkan perpecahan.
Sehubungan itu, Abdullah berharap penyokong tiga calon timbalan presiden akan bersatu dan kembali bekerjasama selepas pemilihan pucuk pimpinan parti itu selesai pada Mac depan.
Mengulas mengenainya, Mohd Ali berkata, ahli-ahli Umno sudah matang dan mereka boleh membuat penilaian terbaik terhadap mana-mana calon yang menawarkan diri untuk bertanding.
Katanya, pertandingan perlu dilaku secara sihat dan jangan ada unsur-unsur fitnah memfitnah, memburuk-burukkan lawan atau sabotaj di kalangan calon-calon tertentu.
Menurutnya, perbuatan seumpama itu akan memberi kesan negatif atau implikasi buruk kepada Umno sendiri.
'Utamakan parti'
"Kepada semua calon yang melepasi kuota pertandingan, saya ucapkan tahniah dan mesti menjaga imej dan mengutamakan parti dalam usaha meraih sokongan untuk menang jawatan yang ditandingi kelak.
"Kita mesti ada integriti, ikhlas, bekerja bersungguh-sungguh dan sanggup berjuang untuk memartabatkan Umno, BN dan kerajaan untuk memastikan rakyat sentiasa dibela dan memihak kepada kita dalam setiap kali pilihanraya sama ada pilihanraya kecil atau umum.
"Saya kira jika kita ikhlas dan melaksanakan segala kehendak rakyat, sudah pasti mereka akan terus bersama Umo dan kerajaan Barisan Nasional," katanya.
Mengenai pergaduhan yang berlaku di bahagian Seremban semalam, Mohd Ali berkata ia terserah kepada lembaga disiplin untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"Perkara ini sepatutnya tidak berlaku jika semua pihak dapat mengawal emosi atau berbincang melalui meja rundingan sebelum sesuatu tindakan dilakukan.
"Kita mesti utamakan parti dalam setiap tindak tanduk yang dilakukan.
Fatwa Pengkid
"Jika keadaan ini terus berlaku, ia sudah tentu boleh mengeruhkan suasana di kalangan ahli dan sekaligus menjejaskan Umno itu sendiri," katanya.
Oleh itu, beliau berharap mereka yang terlibat, dapat bersabar dan badan perhubungan Umno negeri dapat meredakan keadaan.
Mengenai tindakan NGO bukan Islam membantah fatwa berhubung Pengkid, Mohd Ali berkata:
"Saya ingin mengingatkan NGO bukan Islam jangan ingin menjadi juara dengan mencampuri urusan pelaksanaan syariat Islam di negara ini. Ia bertentangan dengan perlembagaan negara."
Menurutnya, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan perlakuan 'Pengkid' atau wanita yang menyamai lelaki adalah mengikut hukum Islam demi menjaga kepentingan majoriti masyarakat Islam di negara ini dan bukan mahu mempertahankan kepentingan peribadi sesetengah golongan.
"Oleh itu, saya ingin menasihatkan NGO bukan Islam ini supaya tidak menggunakan kebebasan bersuara untuk mencampuri kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

