Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mendakwa ada pihak tertentu yang sengaja memutarbelitkan ucapannya yang menyentuh tentang Ketuanan Melayu untuk membangkitkan kemarahan kaum Melayu.

Sebaliknya, kata Dr Chua, apa yang dimaksudkannya dalam ucapannya itu adalah dalam konsep perkongsian kuasa di dalam Barisan Nasional (BN).

chua soi lek pc on ketuanan melayu issue 021208 01 Ditanya siapakah pihak-pihak yang dimaksudkannya itu, bekas menteri kesihatan itu tidak menyebut secara jelas tetapi mendakwa mereka ialah badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak-pihak yang akan menghadapi pemilihan parti.

Dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya pada 27 November lalu, Dr Chua dilaporkan berkata, konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah dan slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

Dr Chua juga dilaporkan berkata: "Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu."

Berikutan itu, semalam Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) menghantar notis guaman menuntut timbalan presiden MCA itu memohon maaf kepada orang Melayu kerana mendakwa ucapannya itu berbaur hasutan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Dr Chua berkata apa yang dimaksudkannya dalam ucapannya itu adalah dalam konsep perkongsian kuasa di dalam Barisan Nasional (BN).

‘Jangan beremosi'

"Saya amat kesal dengan tindakan pihakpihak tertentu yang sengaja memutarbelitkan ucapan saya demi membangkitkan kemarahan kaum Melayu.

chua soi lek pc on ketuanan melayu issue 021208 04 "Saya menasihatkan mereka yang mendakwa kononnya ucapan saya ini mencabar kedaulatan Raja-raja Melayu atau menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perlembagaann Persekutuan, (supaya) membaca keseluruan ucapan saya terlebih dahulu dan bukan hanya menjurus terus kepada istilah Ketuanan Melayu yang dipetik dan dibaca di luar kontaks, sebelum mengeluarkan dakwaan sedemikian.

"Biarlah kita berhujah dengan rasional dan bukan beremosi. Ingin saya jelaskan di sini, bahawa tajuk ucapan yang saya sampaikan ialah mengenai perubahan dalam dunia politik di negara kita.

"Saya menyentuh tentang perubahan lanskap politik di negara kita selepas pillihanraya umum pada 8 Mac 2008 yang menandakan permulaan kepada sistem dua parti," katanya.

Sejajar dengan itu, tegas Dr Chua, parti-parti politk yang ada juga perlu berubah supaya mereka menjadi lebih berdaya saing demi meraih sokongan rakyat.

"Dalam ucapan itu, saya juga menekankan bahawa perjuangan parti-parti komponen BN seharusnya membela nasib semua kaum dan bukan hanya nasib satu kaum sahaja," katanya.

Oleh itu, katanya, pendekatan yang harus diambil adalah kepada isu dan bukan hanya kepada kaum sahaja.

Konsep perkongsian kuasa

"Kita boleh mengamalkan agama, budaya dan mempelajarI bahasa ibunda masing-masing tetapi kita perlu mempunyai sikap yang lebih mencerminkan kita sebagai rakyat Malaysia.

chua soi lek pc on ketuanan melayu issue 021208 02 "Kita menerima hakikat bahawa isu yang melibatkan sesuatu kaum akan memberi kesan kepada kaum yang lain, dalam negara kita. Seterusnya, saya menyentuh tentang kita perlu mengubah konsep perkongsian kuasa, dalam BN," katanya.

Dr Chua berkata, istilah Ketuanan Melayu memberi tafsiran bahawa parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN adalah hamba.

"Kita menerima kepiminan yang diterajui oleh pemimpin Melayu. Ada pihak tertentu mengeksploitasi istilah Ketuanan Melayu ini bahawa parti-parti yang lain dalam BN adalah hamba dan perkongsian kuasa ini bukan sesuatu yang ideal dan saksama.

"Seterusnya saya menekan bahawa menolak konsep "Ketuanan Melayu" ini tidak bererti kita mempertikaikan kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan istimewa kaum bumiputera dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

chua soi lek pc on ketuanan melayu issue 021208 03 "Oleh itu, adalah nyata, saya menggunakan istilah Ketuanan Melayu dalam konteks perkongsian kuasa dalam BN dan bukan berkaitan atau mencabar kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan istimewa bumiputera dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

Menurutnya lagi, dalam konsep perkongsian kuasa dalam BN, ada pihak-pihak tertentu yang berkata, dalam pilihanrayaraya, kalau undi BN bermakna menyokong Ketuanan Melayu.

Jadi, katanya, perkara ini sukar untuk diperjelaskan.

Mengenai kedaulatan Raja Melayu, beliau berkata, isu bahasa Melayu, kedudukan istimewa bumiputera dan orang Melayu itu sudah jelas dalam perlembagaan dan diterima oleh semua orang.

"Kedaulatan Raja-raja Melayu dalam konteks Raja sebagai tuan, rakyat sebagai hamba, diterima," katanya.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini