Karpal tidak sihat, rayuan Hindraf 5 ditangguh
Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan permohonan habeas corpus oleh lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA kerana peguam utama, Karpal Singh, tidak sihat akibat keracunan makanan.
Di permulaan prosiding pagi ini, peguam Ram Karpal Singh memaklumkan kepada Hakim Richard Malanjum - yang mengetuai panel tiga hakim untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 8 September lalu - bahawa Karpal tidak dapat hadir.
"Saya memohon penangguhan kerana peguam utama, Karpal Singh, tidak sihat kerana beliau keracunan makanan sejak semalam. Kita akan mengemukakan sijil sakit untuk mengesahkannya," kata beliau.
Malanjum kemudiannya mengingatkan bahawa kes itu perlu disegerakan kerana ia membabitkan kebebasan lima pemimpin Hindraf terbabit.
Menurut Ram Karpal lagi, beliau telah memaklumkan kepada pelanggannya mengenai kemungkinan prosiding hari ini ditangguhkan.
Malanjum kemudiannya bertanya Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin - ketua pendakwaraya dari Pejabat Peguam Negara - sama ada beliau ada sebarang bantahan kes itu ditangguhkan. Mohd Yusof tidak membantah.
Dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang menganggotai panel tersebut ialah Datuk Hashim Yusof dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.
Lima pemimpin Hindraf terbabit - P Uthayakumar, 47, T Vasanthakumar, 35, M Manoharan, 47, R Kenghadharan, 41 dan V Ganabatirau, 35 - ditahan di bawah ISA pada 13 Disember tahun lalu, selepas penganjuran perhimpunan besar-besaran pada 25 November tahun lalu di Kuala Lumpur.
Baca berita penuh

