CIJ: Jangan seret media ke balai
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) digesa tidak membuat aduan kepada polis terhadap wartawan New Straits Times yang melaporkan penangkap anjing pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bertindak zalim.
Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) menggesa MPSJ menggunakan saluran media untuk menjelaskan laporan akhbar tersebut yang didakwa tidak memihak kepada PBT berkenaan.
"CIJ risau apabila majlis itu memilih untuk menilai sebagai jenayah tugas media membuat sesuatu laporan dengan objektif," kata pegawai komunikasi NGO itu, Yip Wai Fong.
"Tambahan pula, majlis itu harus memahami bahawa masih ada pilihan-pilihan demokratik untuk mengambil tindakan balas, seperti hak menjawab dan pembetulan."
Semalam akhbar itu melaporkan MPSJ bercadang membuat aduan polis terhadap wartawannya sewaktu berdialog dengan Persatuan Kebajikan dan Hak Haiwan Malaysia berhubung dakwaan kekejam terhadap anjing.
Pertemuan majlis dengan persatuan pembela binatang itu merujuk satu laporan New Straits Times pada 11 November yang menyebut orang awam pernah melihat kakitangan MPSJ pernah berbuat demikian terhadap seekor anjing liar.
Yip menambah, CIJ bimbang media akan menghadapi tekanan berlebihan sewaktu menjalankan tugasnya kerana kerajaan tidak menggunakan tindakan yang lebih lembut.
"Mengambil tindakan undang-undang dengan tergesa-gesa membayangkan betapa peranan media kurang dihargai dan muhasabah awam terhadap prestasinya (MPSJ) tidak dialu-alukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"CIJ meminta majlis berkenaan tidak mengambil langkah sedemikian buat masa ini dan akan datang."
Sebagai badan yang beroperasi dengan cukai orang ramai, MPSJ harus ditadbir dengan telus dan terbuka, pendekatan yang boleh menaikkan imejnya di mata masyarakat, tambah CIJ.
"Satu ukuran yang menunjukkan ia telus ialah tahap hormat kepada kebebasan media untuk menjalankan tugasnya," tambah Yip.

