Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa Valuecap Sdn Bhd yang mendapat peruntukan tambahan RM5 bilion tidak akan digunakan untuk menyelamatkan individu yang mempunyai hubungan politik atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya ingin memberi jaminan khusus bahawa Valuecap akan digunakan untuk melaksanakan pelaburan bernilai dan tidak akan digunakan untuk menyelamatkan seseorang," katanya.

Najib yang juga menteri kewangan memberitahu demikian di sidang kemuncak Pasaran Modal Malaysia ke-13 di ibunegara.

Valuecap, katanya, akan diuruskan secara profesional dan beretika dengan tiada campur tangan di dalam keputusan pelaburannya, lapor Bernama.

Bulan lalu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dilaporkan berkata Valuecap mendapat dana tambahan itu melalui pinjaman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau dilaporkan berkata, semua pinjaman yang diberikan KWSP dijamin oleh kerajaan dan kumpulan itu tidak berhadapan dengan sebarang risiko dalam pemberian pinjaman tersebut.

Malah, kataya, pinjaman yang diberikan oleh KWSP memberikan faedah besar kepada pencarum kerana ia akan dapat meningkatkan jumlah dividen yang dibayar.

Nor Mohamed memberitahu, fungsi Valuecap ialah sebagai institusi pelabur jangka panjang yang akan melabur di dalam syarikat blue-chips pada harga rendah.

Jelasnya, Valuecap menyediakan kecairan tambahan dengan membantu mengukuhkan kestabilan pasaran dan keyakinan pelabur, walaupun jumlah RM5 bilion merupakan kurang satu peratus daripada nilai pasaran Bursa Malaysia.