Sambut baik tiga suruhanjaya PM
Usaha perdana menteri menubuhkan tiga suruhanjaya, masing-masing bagi pencegahan rasuah, pelantikan kehakiman dan aduan khas dialu-alukan oleh masyarakat, lapor Bernama .
Kesatuan pekerja, pelabur, pesara, penuntut, pertubuhan kebajikan dan rakyat biasa, kesemuanya menyambut baik langkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu.
"Ketiga-tiga suruhanjaya ini mencatat sejarah legasi Pak Lah kepada negara ini," setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G. Rajasekaran dipetik berkata.
Beliau mengulas pembentangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah pada 10 Disember ini.
Rang Undang-undang bagi dua lagi suruhanjaya akan dibentangkan sebelum Abdullah mengundurkan diri pada Mac depan.
Rajasekaran berkata tiga suruhanjaya tersebut - tiga janji perdana menteri sewaktu mengumumkan pengundurannya - akan mengambil masa untuk menghapuskan pandangan negatif terhadap perkhidmatan awam, badan kehakiman dan agensi penguatkuasa.
Bagaimanapun PK Leong, daripada Petaling Investors Club, berkata langkah itu sudah agak terlewat kerana pelabur-pelabur tempatan dan asing amat khuatir dengan gejala rasuah dalam pentadbiran.
Menurut laporan agensi berita itu semalam, seorang pesara kerajaan A Ragunathan berkata langkah itu seharusnya sudah lama diambil.
Namun, tambahnya, ia lebih baik diperkenalkan sekarang daripada langsung tidak diadakan.
Ragunathan, juga bekas presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), dan penyokong kuat pencegahan rasuah, berkata bagi memastikan suruhanjaya berkenaan berkesan, ia seharusnya dianggotai mereka yang berintegriti tinggi dan melaksanakan tugas secara berkecuali.
Setiausaha agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan (TWU), Datuk Zainal Rampak berpendapat penubuhan suruhanjaya berkenaan sejajar dengan rancangan kerajaan untuk mengadakan sistem sehenti bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan sistem penyampaian.
Presiden Gabungan Persatuan Penguna-pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Marimuthu Nadason berkata seluruh rakyat Malaysia seharusnya menyambut baik inisiatif yang dilakukan perdana menteri.
"Kita tidak dapat mengubah tanggapan orang ramai kerana kini mereka mempunyai pandangan negatif terutamanya apabila berurusan dengan sektor kerajaan.
Contohnya, proses untuk meluluskan tender yang memakan masa sebulan kadangkala berlanjutan sehingga 14 bulan. Kelewatan ini menyebabkan orang ramai berasa sangsi," kata Marimuthu, yang juga anggota jawatankuasa Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

