Mogok: Nelayan 143 kapal enggan ke laut
Tiga hari menjelang mogok besar-besaran nelayan di tiga negeri, pemilik 143 kapal di Kota Kinabalu mula berbuat demikian hari ini,
Mereka mendakwa mengalami kerugian akibat harga diesel lebih tinggi dan hasil tangkapan ikan mereka merosot.
Mereka menghalang kapal-kapal itu keluar ke laut bagi tempoh yang tidak ditentukan, dengan harapan kerajaan akan menimbangkan rayuan mereka untuk mensubsidikan harga diesel kepada RM1 seliter.
Dua pemilik kapal berkenaan Cheong Eng Tiang dan Mu Ven Kong, berkata mereka mengalami kerugian antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan sejak enam bulan lepas.
Menurut Bernama , kerugian itu yang terburuk sejak 30 tahun terbabit dalam perniagaan itu.
"Enam bulan lepas, harga diesel ialah RM1 seliter, tetapi kini kerajaan
mengurangkan subsidi dan kosnya RM1.43 seliter bagi nelayan.
"Kosnya antara RM11,000 dan RM13,000 bagi bahan api apabila kapal keluar ke laut bagi tempoh antara sembilan hingga 10 hari. Apabila kembali, hasil tangkapan hanya kira-kira RM13,000, yang hanya dapat menampung kos itu.
"Sebab itu kenapa, kami menghentikan sementara (menangkap ikan) dan kami menggesa kerajaan menimbangkan untuk mengembalikan harga diesel subsidi seperti sebelum ini," Cheong dipetik berkata di jeti Lembaga Pemasaran Perikanan Sabah (Safma).
Katanya nelayan tidak mendapat keuntungan apabila menjual produk mereka kerana harga hasil laut seperti sotong dan ikan tertentu telah turun antara 35 dan 40 peratus.
Mu pula dilaporkan berkata mereka telah menulis surat kepada kerajaan tetapi setakat ini tiada maklum balas.
Cheong memiliki empat buah kapal manakala Mu tiga buah.
Persatuan Nelayan dan Pemilik Bot Sabah dijangka membincangkan isu itu pada mesyuarat esok.
Rabu lepas, Persatuan Nelayan Selangor dan Perak mengumumkan secara rasmi tindakan mereka, yang akan disertai kumpulan nelayan Sarawak, untuk mogok jika kerajaan tidak menunaikan tuntutan mereka.
Dalam sidang media bersama Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mereka menyatakan bekalan ikan tempatan akan terjejas secara mendadak seandainya nelayan pukat tunda di dua negeri di Semenanjung itu meneruskan ancaman mereka untuk tidak ke laut selama tiga hari mulai Jumaat ini.
Mereka membantah keengganan kerajaan menurunkan harga subsidi diesel kepada RM1 seliter.
"Mereka (nelayan pukat tunda) tunggu dan sabar sudah lama. Mereka merayu banyak pihak supaya membuat ketetapan," kata Dr Chua.

