Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA lawan dasar berita RTM
Diterbitkan:  Dec 12, 2008 8:04 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

MCA menentang keras tindakan Kementerian Penerangan mengurangkan masa siaran Berita Mandarin di RTM daripada 60 kepada 30 minit yang akan berkuatkuasa tahun depan.

"Langkah ini jelas menghakis hak penonton untuk menerima berita Mandarin.

"Kementerian Penerangan sewajarnya menyediakan dasar penyiaran nasional yang adil bagi membolehkan hak siaran yang sama bagi pelbagai kaum," kata jurucakapnya Lee Wei Kiat.

"Berikutan peningkatan pengaruh ekonomi dari China, ramai dan kian ramai rakyat Malaysia mempelajari Mandarin.

"Bagaimanapun, Kementerian Penerangan bertindak sebaliknya dengan mengurangkan masa siaran berita Mandarin," tambahnya dalam sebuah kenyataan hari ini, mengulas pengumuman menteri berkenaan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Parti komponen BN itu juga kecewa dengan perpindahan program itu kepada saluran RTM1 – sebelumnya ia disiarkan RTM2 – yang dijadikan alasan untuk mengurangkan masa siaran tersebut.

Mulai 2009, berita Mandarin disiarkan pada 8 malam, diikuti berita Tamil. Berita utama dalam Bahasa Malaysia pula dianjak ke jam 9 malam.

Bercakap di Dewan Rakyat kelmarin, Ahmad Shabery meminta pihak tertentu tidak terlalu sensitif dengan pengurangan masa siaran itu kerana ia tiada kena-mengena dengan sentimen perkauman.

ADS