BERITA Malaysiakini

Eurocopter dibeli bila ekonomi pulih

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan akan menimbang semula keputusan mengenai pembelian

helikopter Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri apabila ekonomi pulih, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata penangguhan pembelian itu bersifat

sementara ekoran krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang, lapor Bernama .

"Bila keadaan sudah pulih, kerajaan boleh timbangkan semula untuk teruskan pembelian helikopter jenis ini ataupun apa-apa keputusan yang lain yang mungkin dibuat kerajaan," katanya, yang juga menteri kewangan.

Bercakap selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Felda dan Fama mengenai projek Taman Kebun Dapur hari ini, Najib diminta mengulas syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Jawatankuasa khas Dewan Rakyat itu semalam meminta kerajaan menimbang semula keputusan menangguhkan pembelian 12 unit Eurocopter EC 725 bernilai RM1.604 bilion itu.

PAC dalam satu laporan yang diedarkan kepada anggota-anggota Dewan mencadangkan pembelian itu dibuat selewat-lewatnya pada 2011 setelah mengambil kira bahawa helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysa (TUDM) selamat digunakan sehingga 2015

Menurut agensi berita itu lagi, Najib berkata terdapat dua persoalan dalam perkara ini.

"Satu, kita nak pastikan bahawa pembelian ini diuruskan dengan cara tidak ada apa-apa unsur penyelewengan ataupun unsur yang tidak sihat dan ini sudahpun disahkan oleh PAC, PAC dah buat kajian dan PAC kata kita sudahpun mematuhi segala prosedur dalam tender antarabangsa ini, jadi tuduhan yang dibuat pada peringkat awal itu adalah tidak berasas sama sekali," beliau dipetik berkata.

Satu lagi persoalan, tambahnya, keputusan menangguhkan pembelian itu ialah kerana keadaan ekonomi pada masa ini memaksa kerajaan memberikan keutamaan kepada projek-projek yang ada impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.