Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS demo, bantah I-Dance
Diterbitkan:  Dec 19, 2008 8:42 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Pemuda PAS Pulau Pinang akan mengadakan demonstrasi esok jika kerajaan negeri terus mengadakan tarian jalanan I-Dance, kata ketuanya Mohamed Hafiz Mohd Nordin.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata tarian jalanan itu boleh membawa kesan negatif kepada golongan muda.

"Jika kerajaan negeri ingin meneruskan tarian jalanan itu maka kami tidak mempunyai pilihan selain mengadakan protes jalanan, ini baru adil untuk kerajaan dan umat Islam di negeri ini.

"Kita tidak menghalang kerajaan negeri untuk menganjurkannya tetapi syaratnya jangan libatkan remaja Islam.

"Kalau nak buat untuk bangsa dan agama lain, silakan," beliau dipetik berkata selepas mengadakan demonstrasi membantah penganjuran tarian itu.

Demonstrasi kali kedua itu disertai lebih 400 orang sejurus selepas solat Jumaat di luar pekarangan Masjid Kampung Rawa tengah hari tadi.

Jumaat lepas, lebih 200 anggota Pemuda PAS negeri berdemonstrasi di pekarangan Masjid Permatang Janggus dengan membawa

pelbagai sepanduk mengkritik kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP dan PKR, dua rakan gabungan parti Islam.

Mohamed Hafiz dipetik berkata penganjur mesti menutup penyertaan dan tidak sesekali melibatkan remaja Islam dalam penganjuran tarian itu.

Pusingan awal pertandingan itu akan diadakan di New World Park esok, manakala pusingan akhir di Queensbay Mall pada 27 Disember.

ADS