Adakan secara tertutup dialog antara agama
Seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sebarang perbincangan berkaitan isu agama tidak seharusnya dilakukan secara terbuka bagi memastikan keharmonian antara kaum di negara ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semakin banyak perbincangan berkaitan isu agama diadakan akan menambahkan jurang di antara kaum.
"Justeru, saranan kami ialah supaya diperbanyakkan aktiviti bersama yang tidak berbentuk aktiviti keagamaan tetapi berbentuk aktiviti integrasi bersama, contohnya mengadakan majlis menghormati pemimpin agama bersama," katanya, lapor Bernama .
Beliau mengulas saranan kabinet baru-baru ini agar Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mewujudkan beberapa kerangka mekanisme perpaduan yang terbaik di negara ini bagi memastikan sebarang isu berkaitan keagamaan dapat disampaikan dengan baik tanpa mengganggu hubungan antara kaum.
Dr Ahmad Zahid juga berkata sebarang masalah berkaitan agama sebaik-baiknya diselesaikan oleh pemimpin agama masing-masing dan bukan diselesaikan oleh orang politik yang ada kepentingan.
"Sebab terdapat contoh di negara lain, semakin banyak dialog antara pemimpin yang bukan pemimpin agama, semakin banyak masalah timbul.
"Permasalahan yang timbul antara agama bukan disebabkan oleh pemimpin agama tetapi disebabkan oleh pemimpin politik daripada agama berkenaan," katanya, lapor agensi berita itu lagi.
Beliau telah meminta pegawai Jakim, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bertemu dengan pegawai kementerian terbabit untuk menyediakan garis panduan ke arah usaha tersebut.
Dr Ahmad Zahid sebelum itu merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama & Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia kali ke-4 dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama.

