BERITA

Mat Sabu tidak kecewa gagal dipilih calon PAS

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Dis 2008, 12:50 tengahari

Naib Presiden PAS Mohamad Sabu tidak kecewa jika tidak terpilih sekali lagi sebagai calon parti itu dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Saya tak kisah kerana yang penting calon adalah dari PAS dan kita sokong siapa sahaja dari PAS", katanya kepada Bernama .

bersih memo to suhakam 130907 mat sabu "Nama calon belum umum lagi dan presiden (PAS) dah maklum calon PAS akan diumum pada 1 Januari ini dan kita tunggu la, tapi jika saya tak terpilih pun tak apa".

Apa yang lebih penting, calon yang bertanding pada pilihanraya itu - yang diadakan antara 6 hingga 17 Januari ini - kelak adalah dari PAS, tambahnya.

Mohamad, yang popular dipanggil Mat Sabu, tewas tipis 648 undi di tangan calon BN Datuk Razali Ismail dalam pilihanraya umum Mac lepas.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat suka jika Mohamad diberikan peluang sekali lagi untuk merampas kerusi tersebut.

Menurut agensi berita itu lagi, Mohamed menyifatkan kenyataan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu sebagai pandangan peribadi kerana kuasa memilih calon diputuskan oleh mesyuarat yang dipengerusikan oleh presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

PAS akan mengumumkan nama calonnya pada 1 Januari ini bagi menyaingi calon BN Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga timbalan menteri dalam negeri.

Akim pilih peniaga

Sementara itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) memilih naib presidennya Harun @ Ab Rahman Mohamad untuk turut bersaing dengan calon dua parti besar itu.

Setiausaha agungnya Kpt (B) Mohd Rosli Ghazali dilaporkan berkata Harun, seorang peniaga, adalah bekas anggota jawatankuasa PAS kawasan Kuala Terengganu.

Akim telah menubuhkan bilik gerakannya dan akan menjadikan golongan muda sebagai pengundi sasarannya, lapor Bernama .

Manakala laman web Utusan Online pula melaporkan pemilihan Harun, 63, amat tepat kerana bekas naib ketua bahagian PKR Kuala Terengganu itu adalah anak tempatan dari Pasir Panjang yang sudah dikenali umum.

"Dia juga salah seorang pengasas Akim termasuk di Terengganu," Mohd Rosli dipetik berkata di sidang akhbar mengumumkan calon parti itu di Pasir Puteh, Kelantan hari ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.