Polis terpaksa memujuk seorang pelajar lelaki, dipercayai anak angkat bekas menteri, keluar dari apartmennya di Mutiara Damansara bagi membantu siasatan kes memukul dan mengurung bekas teman wanitanya itu di situ malam tadi.

Enam anggota berpakaian biasa kemudian membawa suspek, 25, dan pelajar wanita itu, 24, ke balai Brickfields untuk diambil keterangan selepas kedua-duanya keluar dari apartmen itu di Petaling Jaya jam 1 petang tadi, lapor Bernama .

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib memberitahu agensi berita itu, kejadian ini disiasat mengikut Seksyen 323 iaitu kesalahan membawa kecederaan kepada mangsa.

Gadis itu dilaporkan cedera di kepala, muka dan tangan dipercayai dipukul oleh suspek.

Polis dimaklumkan oleh rakan pelajar wanita itu yang membuat laporan di ibu pejabat polis itu selepas menerima mesej SMS gadis berkenaan jam 9 pagi tadi.

Pelajar wanita itu tidak pulang-pulang selepas dipaksa keluar bersama suspek dengan kereta mangsa malam tadi.

Mangsa dilaporkan sering diugut dan dipukul suspek beberapa kali di beberapa lokasi kerana kecewa ditinggalkan.