BERITA

PAS pujuk Cina melalui DAP, PKR

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Jan 2009, 8:54 pagi

analisis Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang mempunyai lebih 7,000 pengundi Cina dijangka menjadi penentu kemenangan calon BN atau PAS dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Kawasan ini satu-satunya kerusi DUN yang dimenangi oleh BN dalam dalam parlimen Kuala Terengganu pada pilihanraya umum Mac lalu.

Kerusi tersebut diwakili oleh Toh Chin Yaw daripada MCA setelah mengalahkan calon PKR Dr Abdul Manaf Che Mat dengan majoriti 1,142 undi.

Tiga kerusi DUN lagi dalam parlimen itu Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok dimenangi oleh PAS.

Bagaimanapun, kerusi parlimen Kuala Terengganu dimenangi oleh Datuk Razali Ismail setelah mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Razali, waktu itu timbalan menteri pelajaran, meninggal dunia ketika bermain badminton di Genting Highlands, 28 November lalu.

Pengundi bukan Melayu khususnya Cina di DUN Bandar seramai 7,502 orang daripada 18,953 jumlah pemilih berdaftar.

Daripada jumlah itu, 235 pemilih India dan 31 kaum-kaum lain.

bm version kuala terengganu parliament state seat breakdown 031208 Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menggesa BN memberikan lebih perhatian kepada pengundi muda kaum Cina bagi memastikan mereka menyokong calon BN.

Katanya, berdasarkan maklum balas, golongan berkenaan cenderung menyokong pembangkang berbanding pengundi berusia 35 tahun ke atas yang mampu menilai jasa dan sumbangan kerajaan BN.

PAS menyerahkan usaha kempen di DUN ini kepada DAP dan PKR yang boleh "berbahasa pengundi Cina agar dapat menyentuh hati mereka secara langsung."

Dua parti Pakatan Rakyat itu mengingatkan Cina bahawa Umno sebuah parti yang bersifat perkauman melalui beberapa kenyataan dan belum insaf sejak pilihanraya umum Mac tahun lepas.

Oleh itu, wajar pengundi Cina memilih calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut kerana kemenangan BN akan menjadikan Umno semakin angkuh.

Kedua-dua parti itu, seperti juga MCA dan Gerakan, cuba menggunakan pendekatan berbahasa yang lebih spesifik untuk memenuhi tiga suku kaum terbesar di sini - Hokkien, Hainan dan Teochiew.

MCA pula menepis serangan pembangkang dengan mendakwa Umno sudah berubah sejak prestasi buruk BN dalam pilihanraya umum lalu.

Dalam tinjauan awal Malaysiakini , dengan kerja keras PKR dan DAP, petugas-petugas PAS di DUN berkenaan mendakwa mereka telah berjaya menembusi kawasan berkenaan termasuk di kawasan Kampung Cina.

Seorang petugas PAS peti undi Pantai berkata, tiada lagi kawasan hitam bagi parti itu di DUN Bandar.

"Semua tempat telah berjaya kita masuki... orang Cina telah menerima PAS sebaiknya.

"Apatah lagi di kawasan-kawasan Melayu lain, kita telah menyampaikan mesej kita kepada pengundi.

"Kerana itu kita yakin kerusi ini akan ditawan PAS. Kalau kerusi ini ditawan PAS, BN akan kalah besar," kata Awang Jantan malam tadi.

Menurutnya, isu-isu yang mendorong pengundi menyokong PAS termasuklah masalah kemiskinan yang dihadapi mereka.

Rata-rata mereka yang bekerja sebagai nelayan dan bekerja sendiri merungut kerana kehidupan mereka yang daif di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu.

Seorang lagi petugas PAS peti undi berkenaan, Mohd Judin Samad berkata, pihaknya mengutamakan kempen rumah ke rumah kerana ia lebih berkesan.

"Dengan cara ini kita lebih mendekati mereka... seolah-olah mereka dihargai," katanya, yang datang dari Pasir Putih, Kelantan sejak hari penamaan calon bagi membantu jentera PAS.

Bagaimanapun, petugas BN pula mempunyai pandangan yang berbeza.

Menurut mereka, pengundi secara umumnya berpuas hati dengan layanan kerajaan negeri terhadap mereka terutama mengenai kebajikan.

"Kalau ada pun masalah, yang kecil-kecil seperti atap rumah bocor, masalah longkang dan yuran sekolah," kata naib ketua Umno Kampung Tanjung Pantai, Busu Yaakub.

"Tetapi kerajaan negeri telah memberi bantuan kepada mereka walaupun dibuat secara berperingkat-peringat berdasarkan peruntukan kerajaan negeri."

Ramai pengundi di kawasan parlimen ini pula mungkin boleh terpengaruh dengan dakwaan bahawa calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sombong dan sukar bergaul dengan orang ramai.

Bekas timbalan menteri dalam negeri ini juga sering didakwa meminggirkan Razali sehingga allahyarham gagal mendapat sebarang tempat dalam pemilihan bahagian beberapa bulan lalu, termasuk kumpulan tujuh perwakilan ke mesyuarat agung Mac depan.

Selain serangan terhadap peribadi dan ketokohan Wan Ahmad Farid, PAS juga terus memainkan isu wang royalti minyak yang gagal dikembalikan setakat ini dan beberapa projek mega sepert Piala Monsun dan Masjid Kristal yang didakwa membazir.

Jika isu-isu ini terus dimanipulasi, PAS mempunyai sedikit kelebihan untuk menang.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, "kadang-kadang raut muka pun diambil kira."

"Wan Farid orang kata tak selalu senyum macam saya dan kadang-kadang kita terpengaruh dengan fakta itu seolah-olah perkara itu lebih besar daripada keupayaan dia," katanya selepas majlis perjumpaan bersama pengusaha keropok lekor di Losong dalam DUN Wakaf Mempelam baru-baru ini.

"Saya pasti Wan Farid ada keupayaan."

Mengikut pecahan kaum, kumpulan pengundi Cina kedua terbesar - seramai 1,152 orang - berada dalam DUN Ladang, diikuti Batu Burok (339) dan Wakaf Mempelam (89).

Sementara pengundi Melayu mengikut pecahan DUN pula: Batu Burok seramai 23,538 orang, Wakaf Mempelam (20,437), Ladang (15,363) dan Bandar (11,451).

Daripada jumlah keseluruhan 80,229 pemilih, 1,035 orang pengundi pos.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.