Pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu bakal menjadi medan baru pihak yang membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Khamis ini, dua hari sebelum pengundian, Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan ke Kuala Terengganu untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap dasar tersebut kepada BN dan PAS yang sedang berkempen di sana.

"Sempena pilihanraya kecil ini, kita mahu pengundi sedar," kata pengarah jawatankuasa pelaksana bantahan itu, Hasni Abas.

Hari mengundi jatuhnya pada 17 Januari ini.

Katanya, memorandum tersebut akan diserahkan kepada PKR, PAS dan Umno untuk mendesak mereka "bersuara dalam Parlimen dan ceramah" di Kuala Terengganu berhubung isu pelaksanaan PPSMI yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu.

Hasni menambah, butiran lanjut mengenai waktu penyerahan memorandum itu akan diputuskan kemudian.

GMP - kini dipimpin bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad - dijadual mengadakan perhimpunan besar ala-Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Mac depan jika kerajaan gagal memansuhkan PPSMI.

Selain itu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) turut dilaporkan merancang mengadakan "perarakan keranda" bulan depan - dinamakan Keranda 152 - sebagai simbol kematian bahasa Melayu susulan pelaksanaan dasar kerajaan itu.

Khamis lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan bahawa keputusan kajian pelaksaan PPSMI akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan muktamad.

Ulas kenyataan Hisham

Hishammuddin juga dilaporkan meminta semua pihak supaya "jangan gopoh" kerana sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya akan dilaksanakan pada tahun depan.

Ketika diminta mengulas tersebut, Husni berkata: "Sudah lima kali (persidangan) meja bulat (dibuat). Beliau kena ada wibawa bercakap".

Beliau juga menyifatkan kenyataan Hishamudin itu sebagai sebuah "gimik" dan cubaan "memberi gula-gula" kepada rakyat.

Hasni menyifatkan situasi semasa - apabila pelbagai pihak bangun menyatakan bantahan terbuka terhadap PPSMI - sebagai perkembangan yang bagus.

"Itu menunjukkan rakyat semua kaum sedar pada kebudayaan dan jati diri bangsa," katanya.

Selain NGO Melayu, persatuan pendidik Cina, Dong Jiao Zong turut dilaporkan akan mengadakan sesi bantahan mereka terhadap dasar itu.

Kumpulan ini mahukan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini