Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS, BN rayu pengundi luar balik
Diterbitkan:  Jan 13, 2009 3:41 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Selepas mulai yakin undi Cina akan memihak kepadanya, PAS kini bergelut untuk meraih pengundi Melayu bagi memastikan kemenangan calonnya pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Parti itu mengharapkan para penyokongnya di luar Terengganu pulang untuk memastikan kemenangan calonnya Mohd Abdul Wahid Endut pada Sabtu ini.

PAS berdepan dengan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam.

Sumber-sumber parti Islam memberitahu, ia telah mengenal pasti pengundi kawasan parlimen tersebut dan telah menghubungi sebahagian mereka di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sekurang-kurangnya tujuh buah bas disediakan untuk membawa mereka pulang dari Lembah Kelang.

Malaysiakini juga menerima salinan mesej SMS semalam daripada PAS yang mengingatkan pengundi luar di Kuala Lumpur agar pulang menunaikan tanggungjawab memangkah bulan purnama.

Sumber-sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar pengundi luar yang PAS telah kenal pasti.

Difahamkan kira-kira 10 peratus daripada 80,229 pengundi kawasan parlimen ini berada di luar Kuala Terengganu - 5,000 daripada jumlah ini berada di daerah-daerah lain di seluruh negeri itu.

Mengulas penubuhan jawatankuasa pengundi luar Umno bahagian, Wan Ahmad Farid semalam menyatakan ia mengenal pasti kira-kira 6,000 orang yang telah diingatkan untuk kembali.

Menurutnya, BN mengenal pasti tempat kerja, tempat belajar dan nombor telefon pengundi-pengundi luar berkenaan.

Walaupun Wan Ahmad Farid menafikan pihaknya membayar wang perjalanan pengundi luar ini, difahamkan PAS dan BN menyediakan sejumlah peruntukan besar wang untuk memancing pengundi luar pulang menyokong parti masing-masing.

ADS