P'raya kampus UIA ditangguh lagi...
Proses penamaan calon bagi pilihanraya kampus Universiti Islam Antarangsa (UIA) yang dijadualkan hari ini, telah ditunda hingga Isnin depan kerana bekalan air ke universiti tersebut terputus sejak Rabu lalu.
Manakala tarikh pengundian bagi pilihanraya kampus UIA pula - yang sebelum ini ditetapkan pada Isnin depan - turut ditangguhkan kepada 22 Januari.
Bekalan air ke universiti terputus akibat satu kemalangan di KM28 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur yang mengakibatkan tumpahan minyak kelapa sawit, yang menjejaskan bekalan air di lapan kawasan utama di Gombak, termasuk UIA.
Ekoran itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) telah menutup loji rawatan air Sungai Gombak yang telah tercemar oleh tumpahan minyak tersebut.
Semua kolej kediaman pelajar di UIA dan kawasan fakulti terjejas dan sehingga hari ini, bekalan air belum dipulihkan.
Jurucakap pro-Mahasiswa UIA, Ahmad Nor Muslim berkata, notis penangguhan penamaan dan pilihanraya kampus itu, ditampal jam 6 petang semalam di kolej kediaman pelajar.
Menurutnya, notis yang ditandatangani oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Datuk Hamidon Abd Hamid itu memaklumkan, keputusan itu dibuat, bagi menunggu bekalan air pulih semula di universiti berkenaan.
Bagaimanapun, pertukaran tarikh itu diterima baik oleh kumpulan pelajar anti-establishment - pro-Mahasiswa - di universiti berkenaan.
Lebih mudah berkempen
Menurut Ahmad lagi, selain pemilihan kampus, kesemua operasi dan pembelajaran di kampus induk UIA di Gombak dihentikan sehingga Isnin depan atas alasan yang sama.
Mengulas lanjut mengenainya, beliau berkata, penangguhan itu juga akan memberikan peluang berkempen yang lebih selesa bagi semua pihak yang bertanding.
Menurutnya, ini kerana mengikut tarikh pengundian awal (Isnin), calon-calon terpaksa berkempen pada hujung minggu ini.
"Dulu, bila kita berkempen pada hujung minggu, ianya agak sukar kerana tidak ramai pelajar yang tinggal di kolej kediaman.
"Kali ini ianya lebih senang...kerana itulah sememangnya yang kita minta sebelum ini," tambahnya.
UIA sebelum ini dijadualkan mengadakan pilihanraya kampus hari ini tetapi tarikh itu dipinda mengejut ke tarikh baru (19 Januari ini).
Kumpulan Pro-Mahasiswa UIA dilaporkan berkata ia mungkin ada kaitan dengan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Mereka mengesyaki ia bertujuan untuk menghalang mahasiswanya terlibat dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu esok.

