Ayuni menang dalam pemilihan UM
Calon kontroversi pro-Mahasiswa - Shah Rizul Ayuni Zulkiply - turut memenangi kerusi umum yang ditandinginya dalam pilihanraya kampus Universiti Malaya (UM) semalam.
Ayuni sebelum ini membuat laporan polis, mendakwa dia cuba disogok supaya bertanding bagi pihak universiti dalam pilihanraya kampus.
Ini ekoran Ayuni menerima sepucuk surat yang menawarkan dia bertanding kerusi umum bagi pihak universiti berkenaan.
Shah Rizul juga mendakwa terdapat wang tunai RM100 diserta bersama surat bertarikh 9 Januari lalu.
Surat ini didakwa mempunyai tandatangan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Prof Madya, Dr Azarae Idris.
Berikutan itu, Dr Azarae turut membuat laporan polis, menafikan beliau terbabit dalam perkara itu.
Nombor calon ditukar
Manakala semalam, nombor pencalonannya dalam kertas undi didapati ditukar dari kedudukan ke-17 kepada ke-18, tanpa pengetahuannya.
Pertukaran nombor calon itu menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menyebabkan pengundi yang mahu mengundi Ayuni, boleh tersalah pangkah calon.
Ini kerana kempen dibuat mengikut nombor undi calon kerana ia mudah diingati oleh pelajar yang akan mengundi hari ini," kata wakil calonnya, Nurfariza Zahrin semalam.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Dr Azarae Idris menjelaskan bahawa semua calon yang bertanding sepatutnya merujuk kepada senarai calon muktamad yang dikeluarkan oleh bahagian tersebut.
Beliau menjelaskan, selepas selesai proses penamaan calon, HEP akan mengeluarkan senarai nama calon.
"Lepas itu, HEP akan mengeluarkan senarai calon yang kedua dan ia adalah senarai yang muktamad," katanya.
Sementara itu, Pengerusi pro-Mahasiswa Norazali Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kemenangan Ayuni itu.
Malah, katanya, Ayuni merupakan antara calon popular yang mendapat undi terbanyak dalam pilihanraya kampus semalam.
Dalam keputusan pengundian semalam, Ayuni mendapat 5,000 undi dan menduduki tempat keenam daripada sembilan calon yang bertanding bagi kerusi umum.

