Kabinet tolak cadangan undang-undang hubungan kaum
Kabinet telah menolak cadangan supaya satu rang Undang-undang Perhubungan Kaum yang bertujuan untuk menyatupadukan kaum di negara ini diwujudkan, kata Menteri Perpaduan,
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Katanya, dalam mesyuarat mingguannya dua minggu lepas, kabinet berpendapat bahawa usaha menyatupadukan kaum di negara ini baik dilakukan melalui didikan daripada pelaksanaan undang-undang.
"Kita tak perlu menyatupadukan kaum dengan undang-undang, sebaliknya masyarakat perlu dididik bukan sahaja pada peringkat dewasa malah pada peringkat kanak-kanak lagi, lapor Bernama.
"Itu lebih berkesan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersama media di ibunegara hari ini.
"Usaha kita untuk memupuk perpaduan tidak ada paksaan dan tidak perlu undang-undang tetapi harus dipupuk di kalangan anak-anak muda. Suka atau cintakan pada seseorang itu harus ada kerelaan bukan paksaan," kata Mohd Shafie yang juga Pengerusi MCPF.
Beliau berkata keputusan kabinet itu dibuat selepas kajian dan penelitian yang dijalankan oleh kementerian itu pada Oktober lepas ke atas negara yang melaksanakan akta tersebut seperti Amerika Syarikat dan Kanada.
Mohd Shafie berkata perbincangan juga turut diadakan bersama-sama wakil-wakil negeri mengenai cadangan tersebut, dan kabinet merasakan rang undang-undang itu tidak perlu kerana perpaduan di negara ini masih pada peringkat yang baik.
Jika perlu, katanya, akta-akta sedia ada boleh dibuat penambahbaikkan bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, perpaduan kaum di negara ini masih lagi wujud, terutamanya di setiap kawasan perkampungan di mana masyarakatnya saling bantu membantu antara satu sama lain tanpa mengira fahaman agama atau kaum.

