Arif Shah dipelawa anggotai j/kuasa k'jaan negeri
Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah daripada Barisan Nasional, dipelawa oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, menganggotai sebuah jawatankuasanya.
Beliau diundang menganggotai Jawatankuasa Kebebasan Maklumat bersama-sama pelbagai pihak lain termasuk ahli akademik dan pengamal media, kata pengerusi jawatankuasa itu, Abdul Malik Abul Kasim, lapor Bernama.
"Saya difahamkan beliau telah menerima surat pelawaan kita itu tetapi beliau belum memberi sebarang keputusan," katanya dalam sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.
Abdul Malik, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata jemputan kepada Arif Shah itu tiada kaitan dengan politik sebaliknya ia bagi membolehkan kerajaan negeri berkongsi pendapat bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai.
Arif Shah pula ketika dihubungi mengesahkan menerima surat pelawaan itu dan telah merujuk perkara itu kepada Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim untuk tindakan lanjut.
"Saya akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan," katanya.

