Kerajaan membuat keputusan memberi permit teksi kepada individu kerana syarikat teksi gagal menjaga kebajikan mereka, kata Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan, Datuk Noh Omar.

“Saya sendiri mendapat aduan ada syarikat teksi seolah-olah menjadi syarikat jual beli kereta.

“Pemandu dapat kereta tetapi permit tidak diperolehi kerana tidak diberi oleh syarikat walaupun telah selesai membuat bayaran harga teksi.

“Ada sahaja helah syarikat apabila pemandu meminta permit,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian surat tawaran kelulusan lesen teksi Lembah Kelang (fasa 1) di ibu negara hari ini.

Penyampaian surat tawaran kepada 12 wakil pemandu teksi berkenaan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Seramai 1,364 pemandu teksi menerima permit teksi individu dari kementerian hari ini, manakala kira-kira 1,500 lagi akan menerimanya kemudian.

Noh berkata, keputusan kerajaan memberi permit kepada individu adalah untuk kebaikan pemandu teksi.

Serah pada kabinet

Katanya, jika pemandu mahu teksi menjadi hak miliknya, mereka perlu membayar harga teksi kepada syarikatnya.

“Syarikat teksi terbabit akan menukar nama permit kepada pembeli terbabit. Syarikat tidak berhak untuk menyerahkan permit kepada individu,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata, kementeriannya akan membawa cadangan kenaikan tambang pengangkutan awam kepada kabinet untuk mendapat kelulusan.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak boleh mengumumkan kadar kenaikan yang dicadangkan itu.

“Tetapi pengusaha bas ekspres, bas sekolah dan teksi mahu kenaikan seratus peratus.

“Mereka memberi alasan kos operasi, pengurusan dan alat ganti kenderaan yang meningkat, lagipun kenaikan tambang yang terakhir ialah pada 2005.

“Terpulanglah kepada kabinet untuk meluluskan kenaikan tersebut,” katanya