Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes hasutan yang membabitkan penasihat Hindraf, P Uthayakumar kepada 28 April depan.
Hakim Sabariah Othman, yang dijadual mendengar kes itu selama tiga hari mulai hari ini, membenarkan penangguhan tersebut ekoran pemohonan Uthayakumar untuk mendapatkan rawatan sakit kencing manis.
Beliau memerintahkan pihak polis supaya membawa Uthayakumar ke hospital kerajaan dengan segera.
Uthayakumar dibawa dari pusat tahanan Kamunting untuk menghadiri perbicaraan itu hari ini.
Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 13 Disember 2007.
Uthayakumar kelihatan berbaju warna putih dan berjanggut panjang.
Kes hasutan terhadap Uthayakumar adalah berhubung sepucuk surat yang disiarkan di lamanweb yang ada kaitan dengan Hindraf. Surat tersebut, yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, mendakwa masyarakat India di Malaysia telah dipinggirkan.
Surat itu juga menggesa kerajaan British supaya mengemukakan satu resolusi tergempar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk 'pembersihan etnik' di Malaysia.
Uthayakumar didakwa atas tuduhan hasutan pada 11 Disember 2007 dan dibenarkan ikatjamin RM50,000 sebelum ditahan dua hari kemudiannya di bawah ISA.
Baca berita penuh
