Demo di KK: 9 diseret ke mahkamah
dikemaskini Sembilan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar berhubung dakwaan menyertai perhimpunan haram depan Masjid Ubudiah sewaktu majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Jumaat lepas.
Kesemua mereka, termasuk seorang warga Indonesia, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan hakim Norsalha Hamzah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 2.30 hingga 3.30 petang, 6 Feb lepas.
Jika sabit, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Mereka yang dibicarakan:
Meor Safizal Meor Mohamad Amin, dari Jalan Kampung Tawas, Ipoh,
Mohd Faiz Mohd Arshad dari Changkat Tin, Tanjung Tualang,
Zulhaizam Zulkifli dari Jalan Simpang, Taiping,
Isha Riduan Ishak dari Taman Fasa 2A, Seri Manjung,
Bad Latif Mansor dari Bukit Antarabangsa, Selangor,
Adi Hilme Mohd Nasir dari Taman Perpaduan, Hulu Kinta,
Yusoff Jaafar dari Surau Muhamadiah, Kuala Kangsar,
Mohamad Isamail SM Abdul Kadir dari Tmn Merchu Indah, Kuala Kangsar, dan
Idris Mhd Thaib (warga Indonesia) dari Padang Changkat, Kuala Kangsar.
Semua sembilan tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu mengingkari perintah polis untuk bersurai pada tarikh, masa dan tempat yang sama yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 27 (4) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (8) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun, jika disabit kesalahan.
Hakim membenarkan semua tertuduh warganegara ini diikat jamin RM4,000 seorang, manakala RM5,000 dengan seorang penjamin bagi warga asing itu.
Hakim juga menetapkan semua lelaki warga tempatan dilarang menyertai lagi sebarang perhimpunan haram, sementara Idris pula harus menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga tamat perbicaraan sebagai syarat tambahan untuk jaminan mereka.
Kesemua tertuduh menjelaskan bayaran ikat jamin masing-masing.
Tarikh 13 hingga 17 April depan ditetapkan bagi membicarakan kes tersebut.
Pendakwaan dijalankan timbalan pendakwa raya Othman Abdullah dan Hamdan Hamzah, manakala peguam-peguam Augustine Anthony, Aminuddin Zulkifli, Charan Singh, Mohd Fathi Md Zain dan Yusnita Yusuf mewakili kesemua tertuduh.

