BERITA

Dr Khir dituduh 'cakap tidak serupa bikin' isu foto Eli

Abdul Rahim Sabri & Fathi Aris Omar

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Feb 2009, 12:31 tengahari

kemaskini 6.50pm Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo didakwa mengamalkan sikap "cakap tidak serupa bikin" apabila mendesak Elizabeth Wong melepaskan jawatan exco kerajaan Selangor dan wakil rakyat susulan terbongkarnya foto separuh bogelnya.

Bekas menteri besar itu tidak mengambil sikap sedemikian apabila dimaklumkan tentang dakwaan skandal Senator Datin Paduka Norhayati Onn beberapa tahun lalu, kata suami pemimpin Wanita Umno itu, Mohd Suffian Abdul Aziz.

"Wajarkah Datuk Seri Khir meminta YB Elizabeth meletakkan jawatan sedangkan semasa beliau menjadi menteri besar, kenapa beliau abaikan kes Norhayati?

"Saya sendiri pernah berjumpa Datuk Seri Khir di pejabat menteri besar, mengadu masalah (dakwaan) hubungan sulit isteri saya dengan (bekas) ahli parlimen Gombak," kata Mohd Suffian.

Bekas ketua penerangan Umno Klang itu mengulas desakan ketua pembangkang Selangor itu selepas tersebar foto-foto separuh bogel Elizabeth yang didakwa dirakam tanpa kerelaannya dan sewaktu wakil rakyat PKR itu sedang tidur.

Mohd Suffian, yang menemui Malaysiakini hari ini, berkata Dr Mohamad Khir tidak membuat sebarang tindakan terhadap aduannya dan sebaliknya meminta beliau "menyelesaikan sendiri" isu rumahtangganya "sedangkan segala bukti termasuk rakaman suara, mesej SMS, video dan foto" diserahkan kepada bekas menteri besar itu.

"Tetapi tiada tindakan daripada Datuk Seri Khir. Bila timbul isu (foto) YB Elizabeth, dia (Dr Khir) bercakap," kata Mohd Suffian.

"Saya hairan kenapa kes Norhayati tidak disiasat walaupun sembilan laporan polis dibuat oleh saya? Bahkan Norhayati dilantik semula sebagai senator walaupun ada masalah moral."

Jawatan Norhayati - anak pengerusi tetap Umno dan bekas Speaker DUN Selangor, Tan Sri Onn Ismail - sebagai senator disambung bagi penggal kedua pada Oktober lepas walaupun kontroversi mengenai membuak sejak 2007.

Norhayati, yang juga ketua Wanita bahagian Klang, berhasrat mempertahankan jawatannya sebagai exco Wanita Umno, bulan depan.

Dihubungi Malaysiakini , bekas menteri besar Selangor itu berkata beliau tidak mengambil tindakan terhadap aduan Mohd Suffian kerana wujud perbezaan antara isu itu dengan isu Elizabeth.

"Kes ini berbeza. Elizabeth mengaku itu gambar dia dan dia buat laporan polis. Tapi macam Norhayati, dia tak mengaku gambar itu betul atau tidak," kata Dr Khir.

"(Isu) itu masalah rumahtangga. Kita tak ada hak untuk campur tangan rumahtangga orang."

Tambahnya, pihaknya sendiri tidak dapat memastikan kesahihan gambar tersebut.

"Norhayati tidak mengaku, sebab itu kita tidak berani nak menuduh (beliau). Sebab itu kita tidak berani hendak ambil tindakan ke atasnya.

"Kalau (Norhayati) mengaku, lainlah. Gambar mereka, muka dekat, dekat. Mungkin super-impose," katanya.

Beliau mengingatkan agar Mohd Suffian tidak membabitkan orang lain berhubung masalah rumahtangganya dengan isu foto separuh telanjang wakil rakyat Bukit Lanjan.

Exco Wanita Umno itu dilantik semula sebagai senator melalui saluran pihak kerajaan persekutuan, tambah Dr Khir.

Norhayati tidak dapat bercakap panjang kepada Malaysiakini sewaktu dihubungi sebentar tadi kerana sedang memandu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.