Kereta & lembu: MB S'gor akan didakwa

   

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan didakwa berhubung tuduhan beliau telah menyalahguna kuasanya dalam pembelian lembu korban dan penyelenggaran kereta peribadinya.

Menurut Utusan Online , Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, terdapat bukti-bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya, kertas siasatan sudah siap dan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.

Khalid dijangka mengeluarkan satu kenyataan media hari ini berhubung perkara tersebut.

khalid ibrahim and sprm macc Sebelum ini, pihak media melaporkan bahawa kenderaan yang didakwa milik peribadi menteri besar Selangor tetapi disenggara menggunakan wang kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Gerakan Anti Korupsi (Gerak) dan Pemuda Umno Selangor membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan tersebut.

Media juga turut melaporkan reaksi Abdul Khalid yang berkata kenderaan itu hanya digunakan untuk urusan rasmi beliau sebagai menteri besar dan bagi urusan peribadi, beliau menggunakan kenderaan lain.

Beliau juga dilaporkan berkata, ia satu amalan biasa bagi perbendaharaan luluskan peruntukan untuk senggaraan kereta untuk tujuan urusan rasmi.

Gerak juga membuat aduan kepada SPRM terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak - kawasan Parlimen Abdul Khalid - ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut..

Sementara itu, Bernama memetik Ahmad Said sebagai berkata, SPRM telah selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan

penyalahgunaan kuasa menteri besar Selangor, mengenai penyelenggaran sebuah kereta mewah dan pembelian lembu korban.

Katanya, kini terserah epada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan.

"SPRM boleh buat keputusan tetapi eloklah jika kita serah kepada Peguam Negara untuk mempertimbangkan dan mengambil tindakan, ini melibatkan orang kenamaan dan kita perlu adil kepada semua orang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis upacara pecah tanah bangunan kuarters SPRM Pulau Pinang.

Malaysiakini
terkini untuk anda