BN Kedah sudah serah senarai calon
Barisan Nasonal (BN) Kedah telah menghantar senarai calon untuk dipilih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, jumlah calon yang dihantar itu ialah antara tujuh dan lapan orang.
“Kita dah serah, biar mereka pilih,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam tadi.
Bagaimanapun, bekas menteri besar Kedah itu tidak mahu menyatakan sama ada calon berkenaan dari Umno atau parti komponen BN yang lain.
Sebelum ini Umno bahagian Merbok mendesak supaya kerusi Bukit Selambau dikembalikan kepada parti itu ekoran kekalahan calon MIC dalam pilihanraya umum lalu.
Calon BN, S Krishnan kalah kepada calon PKR, V Arumugam dengan majoriti 2,362 undi.
Arumugam mendapat 13,225 undi manakala Krishnan yang memperolehi 10,863 undi.
Kerusi DUN tersebut kosong selepas Arumugam meletak jawatan awal bulan ini.
Dalam pilihanraya 8 Mac tahun lalu, Arumugam yang menang atas tiket bebas kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri.
Terdapat 35,140 pengundi layak mengundi di DUN Bukit Selambau, dengan lebih 50 peratus merupakan pengundi Melayu.

