Pemuda BN serah memo bantah hina Sultan Kedah
Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah, hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri sebagai tanda bantahan terhadap dakwaan berlakunya penghinaan terhadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid, yang mengetuai 50 anggota Pemuda BN negeri termasuk MCA, MIC dan Gerakan, menyerahkan memorandum itu kepada wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Mohd Rizal Mohd Radzi, di Wisma Darul Aman di sini, kira-kira pada jam 10.30 pagi.
Mohd Rawi berkata penyerahan memorandum itu adalah susulan daripada tindakan laporan polis yang dibuat di bahagian masing-masing sebelum ini, selepas Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat mendakwa menerima surat layang mengandungi dialog antara seorang Exco dan pegawai kanan kerajaan menghina Sultan yang telah dipos ke rumahnya 23 Februari lalu, lapor Bernama.
"Sementara menunggu pihak polis menyiasat kes ini, kami menyerahkan memorandum ini sebagai membuktikan ketegasan dalam mempertahankan institusi Raja-raja Melayu.
"Kandungan memorandum termasuklah usul supaya memecat Exco yang didakwa terlibat dan berharap pihak Istana menarik balik semua pingat kebesaran yang dianugerahkan kepadanya," katanya kepada pemberita di Alor Star hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Pergerakan Pemuda Umno perlu lebih profesional dalam berhadapan dengan isu surat layang yang mendakwa berlaku penghinaan terhadap Sultan Kedah.
Beliau berkata perkara tersebut amat mendukacitakan kerana tuduhan yang dianggap tidak berasas itu dibuat semata-mata berdasarkan isi kandungan surat layang yang tidak diketahui dari mana dan siapa pengirimnya.
Manakala ahli exco negeri, Datuk Amiruddin Hamzah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira jam 9 malam semalam berhubung isu berkenaan.
Amiruddin yang bertindak sebagai wakil kerajaan negeri, berkata tindakan itu diambil supaya siasatan dilakukan terhadap kenyataan Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat yang mendakwa menerima surat layang mengandungi dialog antara seorang Exco dan pegawai kanan kerajaan menghina Sultan yang telah dipos ke rumahya 23 Februari lalu.

